Tuesday, June 14, 2011

LADAP PANITIA BAHASA MELAYU SESI PAGI DAN PETANG

LADAP bagi Panitia BM akan diadakan seperti maklumat yang berikut :

Tarikh : 17 Jun 2011 ( Jumaat )
Masa : 12.15 hingga 2.30 petang
Tempat : Bilik SPBT SMK Seri Serdang
Pengisian : Menampal Pelekat Erata Novel Interlok
Kehadiran : Semua guru Panitia BM sesi pagi dan petang

Taklimat PLBS

Taklimat PLBS akan diadakan seperti maklumat yang berikut :

Tarikh : 16 Jun 2011 ( Khamis )
Masa : 1.15 petang
Tempat : Bilik AV 2, Pusat Sumber
Kehadiran : Semua guru BM Tingkatan 3

Semua pentaksir PLBS diharapkan sudah memperoleh markah yang sepatutnya daripada semua calon PMR dan dapat memasukkan markah PLBS dalam borang markah induk.
Semua markah PLBS dan analisis pencapaian calon hendaklah dilengkapkan sebelum 1 Julai 2011.

Usul Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2011

Pusingan Awal
Transformasi Pendidikan Tunjang Modal Insan Bertaraf Dunia

Pusingan Suku Akhir
Mata Pelajaran Sejarah Mampu Meningkatkan Semangat Patriotik

Pusingan Separuh Akhir
Literasi Maklumat Penjana Utama Kecemerlangan Pelajar

Pusingan Akhir
Institusi Pendidikan Wahana Utama Gagasan 1Malaysia

Latihan Intensif Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2011

Latihan intensif Bahas Ala Parlimen diadakan bermula pada 12 Jun hingga 18 Jun 2011.
Semua peserta bahas bersama-sama dengan jurulatih menjalani latihan secara intensif sebagai persediaan untuk pertandingan bahas peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 20 Jun hingga 23 Jun 2011 di Kangar, Perlis.
Semua warga SMK Seri Serdang mendoakan kejayaan yang bakal dibawa pulang oleh pasukan bahas.Semoga latihan yang dijalankan ini akan membantu meningkatkan mutu persembahan para peserta. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada kedua-dua orang jurulatih bahas iaitu Encik Harmi dan Encik Rizal atas sumbangan dan bimbingan yang diberikan bagi membantu pasukan negeri Selangor meluncur kegemilangan.

Thursday, May 26, 2011

Kem Akademik Fasa 2

Kem Akademik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu PMR dan SPM akan diadakan seperti maklumat yang berikut :

Tarikh : 30 Mei 2011
Hari : Isnin
Masa : 8.00-10.00 pagi
Tempat : Kelas masing-masing
Kehadiran : Semua murid Tingkatan 3 dan 5 diwajibkan hadir

Guru-guru yang bertugas, sila rujuk jadual masing-masing untuk mengetahui kelas yang bakal diajar.
Guru-guru BM sesi petang juga akan turut terlibat untuk membantu guru-guru sesi pagi untuk mengadakan kelas pada hari tersebut.
Semua bahan dan maklumat lanjut, sila berhubung terus dengan Ketua Panitia BM.
Terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Harapan kita semua agar segala perancangan ini akan mendapat manfaat untuk meningkatkan prestasi murid dalam PMR dan SPM 2011.

Tuesday, May 10, 2011

Peperiksaan Pertengahan Tahun Bahasa Melayu Tingkatan 1,2 dan 3

Peperiksaan akan dijalankan pada 19.5.11
Panitia Bahasa Melayu mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua murid yang akan menduduki peperiksaan.

GAMBAR - GAMBAR PROGRAM GEMILANG BAHASA MELAYU PMR







Perjumpaan Ringkas Ahli Panitia BM SMK Seri Serdang

Tarikh : 11.5.2011
Tempat : Bilik AV 2
Masa : 1.15 petang
Objektif : Perbincangan Program Peningkatan Tatabahasa
Kehadiran : Semua ahli panitia BM diwajibkan hadir

Program Bahasa Melayu Gemilang



Penceramah En Ghalib Yunus sedang membantu pelajar menjawab soalan.

Program Peningkatan Tatabahasa

Tarikh: 19 Mei 2011
Masa: 2.00 hingga 4.30 petang
Tempat: Bilik Seri Anggun, SMK Seri Serdang
Penceramah: En Abdul Ghalib Yunus [Munsyi Dewan]/Guru cemerlang DG 48
Sasaran: 80 orang guru Bahasa Melayu Zon Puchong Serdang
Anjuran: Panitia Bahasa Melayu SMK Seri Serdang dan KPPMS
Serdang

Sunday, April 24, 2011

Program Sehari Selembar Benang

Siri 9 – Polisem

Perkataan: Lancang
Maksud-1. Kapal layar yang laju 2. Tergesa-gesa mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu sehingga menyebabkan orang lain berasa sakit hati atau celopar.
Ayat: 1. Lancang yang dinaiki oleh mereka diserang oleh lanun. 2. Dia tidak disukai oleh kebanyakan orang di tempat tinggalnya kerana bermulut lancang.

Perkataan: Sumbing
Maksud: 1 serpih sedikit pada bahagian tepinya seperti pinggan. 2 cabik yang dalam pada bibir di sebelah atas sejak seseorang itu dilahirkan.
Ayat: 1. Mata parangnya sumbing kerana tertakik batu. 2. Bibirnya sumbing sejak dilahirkan.

Perkataan: Rapi
Maksud: 1 bersih dan elok . 2 teratur baik-baik, kemas.
Ayat: 1.Wajahnya rapi dan manis. 2 .Buku-buku di biliknya tersusun rapi.

Monday, April 18, 2011

Peperiksaan Setengah Tahun 2011

Dengan ini diberitahu bahawa soalan kertas Bahasa Melayu Tingkatan 5 dalam peperiksaan setengah tahun 2011 meliputi perkara yang telah dipelajari semasa tingkatan lima (Tahun ini) dan tingkatan empat (Tahun 2010). Oleh itu, semua murid tingkatan 5 hendaklah membuat ulang kaji novel Papa (Kau Tewas jua...)dan antologi Harga Remaja sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Harap maklum.

Friday, April 15, 2011

Program Sehari Selembar Benang

Siri 8 - Kata pinjaman daripada bahasa Arab.

Perkataa: Iltizam
Maksud : kesungguhan, secara bersungguh-sungguh
Ayat : Murid yang cemerlang ialah murid yang mempunyai iltizam untuk memajukan diri mereka dalam segenap bidang.

Perkataan: Intiha
Maksud : Penghabisan, penutup,
Ayat : Sebagai intiha, penceramah memberikan nasihat agar semua murid terus belajar dengan bersungguh-sungguh.

Perkataan: Iktibar
Maksud: pengajaran, contoh, teladan.
Ayat : Semua murid hendaklah mengambil iktibar daripada kejadian kemalangan jalan raya yang melibatkan golongan remaja.

Perkataan:Ikhtisar
Maksud: ringkasan cerita, sinopsis.
Ayat : Setiap murid telah diarahkan untuk membuat ikhtisar cerpen-cerpen yang terdapat dalam antologi Kasut Kelopak Jantung.

Perkataan: Insan
Maksud: manusia
Ayat: Kita hendaklah melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan agar dapat menjadi insan yang cemerlang.

Wednesday, April 13, 2011

Pembahas Terhebat di Negeri Selangor





Penyokong Terhebat : Pn. Munirah

SMK Seri Serdang Juara Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri Selangor

Kami, warga SMKSS, ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat seperti Pengetua, PIBG, Ketua Bidang Bahasa, Ketua Panitia Bahasa Melayu, Guru Penasihat pasukan Bahas, Jurulatih, iaitu En.Harmi dan Encik Rizal,dan semua pembahas yang telah bertungkus lumus hingga pasukan bahas SMKSS mencapai kejayaan yang cemerlang, iaitu menjadi Juara Pertandingan Bahas Peringkat Negeri Selangor. Kami berbangga kerana menjadi warga SMKSS.

Sunday, April 10, 2011

Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat MSSD Petaling Perdana 2011 - Johan

Kami mengucapkan tahniah kepada Pasukan Bahas Ala Parlimen SMKSS kerana menjuarai pertandingan bahas peringkat PPD Petaling Perdana 2011







Thursday, April 7, 2011

Bahas ala parlimen – Usul yang berat sebelah

Satu perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh penganjur dalam pertandingan bahas ala parlimen ialah usul. Usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan mestilah berkonsepkan cadangan tentang sesuatu yang hendak dilaksanakan. Selain itu, usul perlulah bersifat positif. Bukan itu sahaja, setiap usul mestilah mempunyai ciri pro dan kontra.Oleh hal yang demikian, kedua-dua pihak mestilah mengemukakan hujah untuk mempertahankan usul atau untuk menolak usul. Contoh usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan:

1. Cuti penggal wajar dipendekkan.
2. Mata pelajaran Bahasa Inggeris wajar dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM.
3. Hukuman Rotan wajar dilaksanakan untuk meningkatkan tahap disiplin.
4. Pendekatan kaunseling mampu menangani masalah disiplin.
5. Pelaburan asing banyak membawa kebaikan kepada negara.
6. Pendidikan berorientasikan peperiksaan perlu diteruskan.
7. Kecemerlangan akademik menjamin masa depan.
8. Kaedah Perubatan Alternatif meningkatkan Kesihatan Pengguna

Namun demikian, akhir-akhir ini banyak usul dalam pertandingan bahas ala parlimen yang berat sebelah seperti yang berikut:

1. Sektor pelancongan menjana ekonomi negara.
2. Modal Insan yang berkualiti mangkin kemajuan negara.

Usul (1) dan (2) di atas ini merupakan tajuk yang bias atau berat sebelah. Tajuk bahas ala parlimen sebenarnya usul. Usul ialah sesuatu yang hendak dibawa ke parlimen dan dibentangkan supaya diterima atau ditolak oleh ahli dewan.
Tujuan pertandingan bahas ala parlimen adalah untuk melahirkan pelajar yang petah berhujah, berani bercakap di khalayak, mengeluarkan hujah berserta bukti, dan sebagainya. Oleh itu, setiap penganjur pertandingan mestilah memastikan setiap usul tidak berat sebelah atau bias dalam sesuatu pertandingan perbahasan. Jika pertandingan perbahasan tersebut pada peringkat yang lebih tinggi seperti pertandingan perbahasa ala parlimen antara universiti, tajuk (1) dan (2) tersebut sememangnya sesuai.

Tuesday, April 5, 2011

Aktiviti Koakademik Zon Puchong Serdang 2011 - Bahas Ala Parlimen : Johan Zon dan Johan Peringkat Daerah

Kami amat berbangga kerana pasukan Bahas Ala perlimen sekolah kami telah menjuarai pertandingan bahas ala parlimen peringkat zon dan peringkat daerah Petaling Perdana. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan bahas sekolah dan guru penasihatnya, Pn. Zurita serta jurulatihnya, En. Harmy. Pada minggu depan, pasukan ini akan mewakili PPD Petaling Perdana untuk pertandingan peringkat negeri yang akan berlangsung di Gombak.

Aktiviti Koakademik peringkat Zon Puchong Serdang 2011 - Pantun: Tempat Kedua

Monday, April 4, 2011

Aktiviti Koakademik 2011-Peringkat Zon Puchong - Serdang : Pidato - Tempat Ketiga

Panitia BM mengucapkan tahniah dan syabas kepada peserta Forum, iaitu Nor Amira, Afzaniza, Nur Nazratul Fareha , Ong Eng Hong dan Mohd Arif kerana berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.

Aktiviti Koakademik 2011 - Peringkat Zon Puchong - Serdang -Pidato - Tempat Ketiga

Tahniah diucapkan kepada Sdr. Noor Amira Zuraini kerana telah berjaya menduduki tempat yang ketiga.

Thursday, March 31, 2011

Contoh Teks Bahas: Menteri Ketiga

Usul: Keutuhan Ekonomi Teras Kemajuan Negara’

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang Dipertua, perwakilan kerajaan, rakan-rakan pembangkang serta warga dewan sekalian. Salam sejahtera dan selamat bersidang.

Tuan Yang Dipertua,
Usul pada hari ini berbunyi “Keutuhan Ekonomi Teras Kemajuan Negara’ ”. Namun, saya selaku pembangkang ketiga akan mematahkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak kerajaan. Berdirinya saya pada pagi yang penuh ceria ini adalah untuk menegaskan pendirian kami kepada sidang dewan sekalian bahawa sesungguhnya `Ekonomi bukanlah teras kemajuan negara kerana banyak kelemahan ekonomi yang gagal ditangani oleh pihak kerajaan”.

Tuan Yang Dipertuan,
Untuk menolak usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan, saya akan mendedahkan /menyatakan kelemahan-kelemahan hujah yang dilakukan oleh perwakilan kerajaan sebentar tadi.

Kelemahan pertama yang dilakukan oleh pihak kerajaaan ialah Y.A.B Perdana Menteri mengatakan bahawa ekonomi negara kita kukuh kerana nila Ringgit kita stabil. Saya ingin menafikan hujah ini sekeras-kerasnya kerana Y.A.B mengemukakan hujah tanpa mendedahkan fakta yang sebenar. TYT, saya ingin membetulkan kesilapan Perdana Menteri. Saya ingin menegaskan bahawa pada tahun 1998 negara kita telah mengalami kegawatan ekonomi. Pada masa itu, nila mata wang kebanyakan negara di dunia jatuh merudum akibat serangan spekulator mata wang. Untuk mengelakkan negara kita terjejas teruk, Perdana Menteri pada masa itu, iaitu Tun Mahathir Mohammad telah mengenakan tambatan pada ringgit dengan kadar RM3.88 berbanding 1 dollar Amerika Syarikat. Walaupun ringgit pada masa itu kelihatan kukuh, namun negara kita dilanda kegawatan ekonomi yang sangat buruk. Tegasnya, TYD, kedudukan Ringgit yang kukuh tidak semestinya menggambarkan keutuhan ekonomi negara. Kesan daripada tindakan kerajaan ini, pelabur-pelabur asing bimbang untuk melabur di negara kita kerana bimbang bahwa pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang merugikan mereka. Kami buktikan jumlah kemasukan pelabur asing ke negara kita pada tahun 2008 semakin berkurang, iaitu Berdasarkan laporan United Nation Conference On Trade And Development yang dikeluarkan pada 11.00 pagi, 24 September 2008 menyebutkan bahawa aliran dana asing yang keluar dari negara kita adalah sebanyak USD10.989b dan dana asing yang memasuki Malaysia pula adalah USD8.403b.

Kelemahan kedua yang dilakukan oleh pihak kerajaan ialah mereka menyatakan bahawa keutuhan ekonomi dapat dicapai melalui kestabilan politik dan pentadbiran negara yang kukuh. TYD, saya ingin mengemukakan soalan ini kepada pohak kerajaan, apakah indikator dan justifikasi yang digunakan untuk membuktikan bahawa politik di negara kita stabil? Oleh sebab kerajaan gagal menangani pelbagai isu yang timbul di negara kita seperti diperjuangkan oleh Hindraf, GERAK, JERIT, dan sebagainya, menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan pelbagai demontrasi, perhimpunan haram berlaku. Hal ini sudah tentu menjejaskan keutuhan ekonomi negara. Pihak kerajaan sepatutnya menangani isu ini dahulu sebelum ingin mengukuhkan ekonomi negara. Jika pihak kerajaan dapat menangani isu ini terlebih dahulu, saya yakin bahawa usul yang dikemukakan pada hari ini akan diterima. Namun, kegagalan pihak kerajaan memastikan keadaan negara yang aman dan politik yang stabil, hal ini sudah tentu menjejaskan keutuhan ekonomi negara kita. Kalau perkara ini tidak dapat diselesaikan, bagaimanakah kita hendak memperkukuh ekonomi negara kita? Oleh itu, saya bagi pihak pembangkang menyeru semua ahli dewan menolak usul yang dibawa oleh pihak kerajaan pada hari ini.

Kelemahan ketiga yang dilakukan oleh pihak kerajaan ialah Menteri Ketiga menyatakan bahawa negara kita mempunyai pelbagai sumber untuk meningkatkan ekonomi negara. Mereka mengemukakan sektor pertanian/perindustrian sebagai contoh. Menteri Ketiga menyatakan bahawa negara kita kaya dengan hasil pertanian/perindustrian yang mampu merangsang ekonomi negara kita. Tuan Yang Dipertua, saya tidak menolak fakta yang dikemukakan oleh pihak kerajaan tersebut. Perkara yang ingin saya utarakan di sini ialah masih terlalu banyak kawasan pertanian di negara kita yang terbiar atau tidak diusahakan. Kawasan sawah padi pula sudah didirikan bangunan. Kebun-kebun getah pula banyak yang terbiar. Banyak golongan muda dari kampung atau luar bandar berhijrah ke kota. Persoalan yang ingin kami kemukakan ialah bagaimanakah sektor ini mampu menjana ekonomi negara sedangkan pihak kerajaan masih gagal menangani masalah kekurangan tenaga pekerja dalam sektor pertanian dan masih gagal mengatasi masalah terbiar di negara kita. Menurut Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, iaitu Tan Sri Muhamamad Taib, beliau mengatakan bahawa terdapat lebih daripada 5,000 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan kerana golongan muda tidak meminati sektor pertanian. Persoalannya ialah mengapakah pihak kerajaan tidak mengatasi masalah ini dahulu sebelum ingin menjadikan keutuhan ekonomi teras kemajuan negara? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh hal yang demikian, usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan pada hari ini perlulah ditolak.


Tuan Yang Dipertua,
Konklusinya, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa usul pada hari ini sewajarnya ditolak kerana pihak kerajaan gagal menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan ekonomi. Sekian terima kasih,minta maaf sekiranya terkasar bahasa,namun saya masih teguh dengan pendirian saya, mohon terus membangkang.

Wednesday, March 30, 2011

Contoh Teks bahas: Menteri Kedua

Soalan Contoh
Anda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Parlimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul perbahasan tersebut ialah “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.
Sebagai menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Rangka Karangan

Kata alu-aluan

Pendahuluan

- tolak pindaan usul oleh pembangkang – sokong definisi usul Perdana Menteri

Isi-isi Penting

i. bidasan terhadap pembangkang
ii. penguatkuasaan yang lemah
iii. wujudnya unsur rasuah

Penutup

- Pemantauan pihak berkuasa dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Teks Contoh

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,
Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Tidak Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh Perdana Menteri, iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Tuan Yang Dipertua,
Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa pemantauan yang kurang berkesan tidak dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,
Sebenarnya, pihak berkuasa mempunyai prosedur atau peraturan yang menjadi garis panduan untuk meluluskan tender kantin kepada pengusaha yang berjaya. Selepas itu, pihak berkuasa hendaklah memantau pengusaha-pengusaha kantin yang sedang menjalankan operasi itu dengan berkesan. Jadi sepatutnya pihak berkuasa hendaklahlah menjalankan tanggungjawab mereka itu dengan berkesan. Sekiranya mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, sudah pasti masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah akan dapat diatasi. Mungkin ada segelintir pihak yang berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan tetapi bukan bermakna semua pihak berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan. Jika berlaku juga sebahagian kecil pihak berkuasa yang tidak menjalankan pemantauan dengan berkesan, sudah pasti mereka juga akan dikenakan tindakan kerana kecuaian. Jadi, perkara pokoknya di sini, pihak berkuasa sepatutnya menjalankan pemantauan dengan berkesan untuk mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,
Pemantauan pihak berkuasa akan dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah, jadi hujah saya yang pertama iaitu berpaksikan frasa, pemeriksaan berkala secara kerap. Selepas tender diberikan kepada pengusaha kantin, pihak berkuasa perlulah membuat pemeriksaan berkala secara kerap terhadap pengusaha kantin tersebut. Pihak berkuasa seperti pegawai-pegawai daripada Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kesihatan perlulah membuat pemeriksaan secara mengejut untuk memastikan makanan yang disediakan benar-benar bersih dan selamat untuk dimakan oleh murid-murid. Sampel makanan perlulah diperiksa dan dibuat uji kaji di makmal. Selain itu, pekerja-pekerja yang terlibat untuk menyediakan makan perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya langkah ini dijalankan, sudah pasti keracunan makan dalam kalangan masyarakat tidak akan berlaku.

Tuan Yang Dipertua,
Sekiranya pemeriksaan berkala secara kerap dijalankan sudah pasti pihak pengusaha kantin akan mementingkan kebersihan dalam aspek penyediaan makanan. Oleh itu, pengusaha kantin perlulah memastikan tangan penyedia makanan benar-benar bersih dan premis penyediaan makanan mereka bersih. Selain itu, tukang masak juga perlu memakai topi dan apron di samping memotong kuku mereka agar bersih. Sayur-sayuran atau bahan-bahan yang hendak dimasak perlulah dibersihkan dengan air yang secukupnya di samping tidak mendedahkan makanan kepada lalat atau serangga yang lain. Jika langkah ini diambil oleh pengusaha kantin, sudah tentulah masalah keracunan makanan dapat dielakkan.

Tuan Yang Dipertua,
Hujah saya yang kedua iaitu berpaksikan frasa, mengadakan kursus kepada pengusaha kantin. Pihak berkuasa perlulah mengadakan kursus yang berkaitan dengan aspek kebersihan dalam pengendalian makanan kepada pengusaha-pengusaha kantin sekolah. Melalui kursus tersebut, pengusaha kantin akan mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh demi menjaga kebersihan makanan di kantin. Sudah tentu, mereka akan diberikan pendedahan tentang cara-cara untuk menyediakan makanan yang bersih dan selamat untuk murid-murid sekolah. Pekerja-pekerja kantin itu juga didedahkan dengan aspek kebersihan dan kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam penyediaan makanan. Selain itu, mereka perlu memakai pakaian yang sepatutnya semasa memasak makanan dan menjaga kebersihan seperti memastikan kuku mereka dipotong, membasuh tangan sebelum memegang makanan dan sebagainya. Oleh itu, masalah keracunan makanan dalam kalangan murid-murid sekolah akan dapat diatasi.

Tuan Yang Dipertua,
Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadang.

Sekian, terima kasih.

(Sumber: Wan Buanan, Kelab Debat Bahasa Melayu)
http://www.facebook.com/home.php?#!/home.php?sk=group_151645061557694&view=doc&id=151717878217079

Contoh Teks bahas: Perdana Menteri

Teks Bahas:

Usul: Pendidikan Industri Mangkin Pembangunan Negara

Dengan lafaz bismillahirahmanirrahim, saya membuka arena perdebatan pada hari ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang Dipertua, barisan kerajaan, perwakilan pembangkang, Ahli-ahli Yang Berhormat sidang parlimen sekalian.


Assalamualaikum, warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera dan selamat bersidang.

Tuan Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya amat bersyukur kerana berkat keamanan dan keharmonian bawah kepemimpinan kerajaan pada hari ini dewan kembali bersidang untuk membahaskan satu usul yang begitu penting untuk dilaksanakan.

Tuan Yang Dipertua,

Usul pada hari ini berbunyi,.”Pendidikan Industri Mangkin Pembangunan Negara,”

Tuan Yang Dipertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian

Pertama, izinkan saya melakukan penakrifkan usul secara literal. Perkataan “Industri” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat diertikan sebagai perusahaan secara besar-besaran untuk menghasilkan barangan, manakala perkataan “mangkin” bermaksud unsur yang mempercepat atau menyegerakan sesuatu perkembangan. Jadi, dapatlah dirumuskan bahawa “Pendidikan Industri Mangkin Pembangunan Negara” bermaksud pendidikan yang berasaskan perusahaan merupakan unsur yang akan mempercepat pembangunan negara.

Sebagai Perdana Menteri, saya akan menyatakan hujah-hujah yang menyokong usul ini. Selain itu, hujah-hujah yang seterusnya akan disambung oleh Menteri Pertama, manakala Menteri Kedua pula akan membidas hujah-hujah songsang yang akan dibawa oleh pasukan pembangkang. Saya ingin menyatakan bahawa pihak kerajaan yakin dengan hujah-hujah yang akan kami bentangkan nanti dan seterusnya usul yang kami bawa akan diterima secara konsesnsus.


Tuan Yang Dipertua,

Kami meletakkan dua indikator bagi memantapkan usul kami.Yang pertama, saya katakan bahawa kebergantungan kita kepada negara maju walaupun kita kaya dengan hasil pertanian.Yang Kedua, TYDP, indikator kami ialah bagaimanakah pendidikan industri dapat memacu sektor pertanian ke arah sektor perindustrian yang berasaskan pertanian. Saya yakin bahawa berdasarkan indikator-indikator ini berserta justifikasi yang akan kami kemukakan sudah pasti usul ini akan diterima tanpa perlu diperdebatkan dengan hujah-hujah palsu yang akan dikemukakan oleh pihak pembangkang.

Tuan Yang Dipertua,

Sejak zaman berzaman, negara kita bergantung pada sumber pertanian kerana kita mempunyai tanah yang luas dan subiur. Namun, kita tidak berupaya memperoleh hasil yang lumayan. Pembangunan kita agak perlahan dan kita selalu bergantung harap pada negara maju seperti Jepun dan Amerika untuk membantu kita. Sampai bilakah kita boleh berkeadaan sedemikian? Sampai bilakah kita harus meminta-minta?

Tuan Yang Dipertua dan sidang Dewan sekalian,

Kita harus belajar daripada sejarah. Lihatlah negara-negara maju di dunia, Jepun, misalnya, selepas Perang Dunia Kedua, telah bangkit menjadi gergasi ekonomi dunia kerana negara itu maju dalam bidang perindustrian. Korea Selatan pula mengikut jejak langkah Jepun dalam bidang perindustrian. Oleh sebab itu, untuk mempercepat pembangunan negara, kita harus beranjak daripada negara pertanian kepada negara perindustrian.

(Wakil pembangkang berdiri mohon izin laluan daripada Tuan Yang Dipertua)

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa untuk menjadi negara maju, kita perlulah berubah daripada negara pertanian kepada negara perindustrian. Persoalannya ialah sedarkah pihak pihak kerajaan bahawa pada suatu hari nanti kita mungkin menghadapi krisisi makanan kerana terlalu menumpukan perhatian kepada bidang perindustrian? Saya bimbang nanti yang kita kejar tidak dapat, yang kita kendong pula berciciran.



Tuan Yang Dipertua,

Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Pembangkang atas persoalan yang dikemukakan itu. Apabila saya mengatakan bahawa untuk menjadi negara maju, kita perlu berubah daripada negara pertanian kepada negara perindustrian, bukan bermakna kita tidak menumpukan perhatian kepada bidang pertanian lagi. Sebaliknya, kita majukan bidang pertanian yang berasaskan perindustrian. Kita harus sedar bahawa sudah lama kita mengalami kerugian yang besar. Banyak wang negara yang mengalir ke negara asing kerana kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perindustrian.



Sebagai akibatnya, kita tidak berupaya mencipta dan mengeluarkan barang-barang keperluan kita sendiri walaupun kita mempunyai sumber yang banyak. Kita hanya berupaya menjadi pengeksport barang-barang mentah seperti getah, kelapa sawit, dan seumpamanya dengan harga yang murah. Sebaliknya, kita mengimport barang-barang siap dengan harga yang berlipat ganda. Alangkah ruginya kita!

Tuan Yang Dipertua,

Dengan menyedari hakikat ini, maka kita harus membangunkan bidang perindustrian dengan melahirkan tenaga pakar dalam bidang ini. Pembinaan kilang yang banyak semata-mata tidak bermakna jika kita tidak menyediakan tenaga mahir yang mencukupi. Untuk mencapai matlamat itu, maka bidang pendidikan yang berasaskan pertanian perlu diberikan keutamaan.. Usaha ini seharusnya bermula pada peringkat sekolah rendah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan pendidikan industri., Oleh yang demikian, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan mata pelajaran Kajian Tempatan adalah wajar. Seterusnya, pada peringkat sekolah menengah pula, diajarkan mata pelajaran Kemahiran Hidup, dan pada tahun 2002 mata pelajaran Vokasional diperkenalkan di sekolah menengah harian.

Tuan Yang Dipertua,

Kita terpaksa menerima hakikat bhawa pembangunan dalam bidang industri merupakan mangkin kepada pembangunan negara. Oleh sebab itu, pendidikan industri merupakan satu eleman penting yang perlu diberikan perhatian wajar bukan sahaja oleh kerajaan, tatapi juga oleh oleh pihak pembangkang…..

(Sumber: http://agy7500.blogspot.com)

Thursday, March 24, 2011

Pertandingan Forum Zon Punchong - Serdang 2011 - Komen Terbuka

Kelemahan peserta forum Zon Puchong-Serdang 2011
1. Persembahan kebanyakan peserta terlalu terikat dengan skrip.
2. Kebanyakan peserta gugup ketika membuat persembahan.
3. Mata peserta kurang memberikan perhatian kepada penonton.
4. Peserta tidak dapat menyampaikan isi dengan lancar.
5. Penggunaan tatabahasa yang salah seperti penggunaan perkataan `justeru’ yang tidak tepat.
6. Peserta memasukkan unsur `main peranan’.
7. Peserta gagal menjawab soalan yang dikemukakan ketua hakim.
8. Peserta gagal menggunakan kata sapaan dengan tepat.
9. Peserta menggunakan bahasa basahan seperti `ok’, dan sebagainya.
10. Dengan berdasarkan persembahan, kebanyakan pasukan kurang menjalani latihan.
11. Masih ada pasukan yang masih tidak memahami konsep forum dan cara untuk menjawab soalan spontan.

Kelemahan pertandingan:
1. Peserta dikuarantinkan. Hal ini menyebabkan peserta pertama dapat menyaksikan semua pasukan lain membuat persembahan. Peserta atau pasukan terakhir pula tidak berpeluang utnuk menyaksikan pasukan lain membuat persembahan.
2. Ketua Hakim mengemukakan penyataan dan soalan spontan terlalu panjang dan berbelit-belit hingga menyukarkan peserta untuk memahami kehendak soalan. Biarlah soalan itu sukar tetapi pendek dan mudah difahami.
3. Hakim mengambil masa terlalu lama untuk menyerahkan keputusan pertandingan selepas pasukan terakhir membuat persembahan. Hal ini menyebabkan pertandingan tamat pada pukul 2.30 petang.

Pertandingan Forum Zon Punchong - Serdan 2011

Tahniah saya ucapkan kepada pasukan forum SMKSS kerana mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut yang disertai oleh 10 buah sekolah.



Pertandingan Pidato Zon Puchong - Serdang 2011

Tahniah saya ucapkan kepada Nor Amira kerana mendapat tempat ke-3 dalam Pertandingan Pidato, Zon-Puchong, Serdang.

Tuesday, March 22, 2011

Fokus Karangan SPM 2011 - Pengangkutan Awam

Soalan:
Masalah pengangkutan awam di negara ini perlu diselesaikan untuk menjamin keselesaan dan kepuasan pengguna. Bincangkan masalah yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.

Jawaban:
Strategi:
T=Pengangkutan awam
K=Masalah
F=Umum

Isi:
1. perkhidmatan yang ditawarkan tidak sistematik
2. sistem pengangkutan awam di negara kita sering tidak menepati jadual
3. jumlah perkhidmatan yang disediakan tidak mencukupi
4. perkhidmatan awam yang disediakan tidak selesa


(AR) Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menegur mutu perkhidmatan pengangkutan rel di ibu negara yang disifatkannya tidak memuaskan pada tahun 2008 yang lalu. (AR) Kenyataan itu dibuat setelah beliau merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan Komuter, Keretapi Tanah Melayu Berhad(KTMB) dan sistem transit aliran ringan (LRT). Beliau juga sempat mendengar rungutan daripada orang ramai yang menggunakan kedua-dua perkhidmatan itu. Beliau menegaskan bahawa kewujudan masalah ini ibarat kata pepatah, ”Kalau tak tumbuh tak melata, kalau tak sungguh orang tak kata.” (AA) Semasa tinjauan ini dibuat, beliau mendapati bahawa beberapa masalah yang melanda pengangkutan awam ini perlu diatasi.

(AJ) Satu daripada masalah yang wujud dalam sistem pengangkutan awam ini ialah perkhidmatan yang ditawarkan tidak sistematik. (AH) Apabila perkhidmatannya tidak sistematik, masalah yang timbul dalam sesuatu masa sukar untuk diatasi. (AH) Keadaan ini memang jelas berlaku di ibu negara. (AH) Kecanggihan pengangkutan awam benar-benar teruji pada waktu puncak apabila sistem pengangkutan awam di negara kita gagal menangani limpahan pengguna pada waktu itu. (AC) Sepatutnya, pengangkutan awam seperti sistem transit aliran ringan (LRT), tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan perkhidmatan bas RapidKL merupakan nadi kepada pergerakan warga kota. (AH) Namun semua perkhidmatan ini gagal menampung keperluan pada waktu puncak. (AH) Ketiga-tiga perkhidmatan ini didapati beroperasi dengan teratur dan mengikut jadual pada waktu-waktu biasa yang tidak sibuk. (AH) Namun, apabila tiba waktu puncak sama ada sebelah pagi atau petang, orang ramai tidak boleh bergantung pada perkhidmatan ini jika mahu sampai ke pejabat tepat pada masanya. (AP) Pada waktu puncak, pengangkutan awam di ibu kota dilihat gagal menampung kebanjiran pengguna yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Selain itu, (AJ) sistem pengangkutan awam di negara kita sering tidak menepati jadual. (AH) Walaupun mantan Perdana Menteri pernah turun padang untuk melihat sendiri operasi pengangkutan awam, namun setakat ini masih belum ada perubahan. (AH) Orang ramai masih perlu bergelut untuk mendapatkan tren dan bas terutamanya pada waktu puncak, namun waktu perjalanan dan ketibaan perkhidmatan itu tidak mengikut jadual. (AH) Perjalanan yang tidak menepati jadual ini benar-benar menyusahkan pengguna dan menimbulkan kesan kepada tugas dan tanggungjawab mereka di tempat kerja. (AH) Kelewatan ini berpunca daripada sistem pembelian tiket yang tidak efisien. (AC) Sebagai contohnya, jumlah pengguna Putra LRT di Stesen Wangsa Maju menuju ke arah Kelana Jaya mencecah lebih seratus orang pada satu-satu masa pada waktu pagi. (AH) Sebagai akibatnya, barisan menunggu menjadi terlalu panjang dan berpusing-pusing memenuhi platform. (AH) Senario beratur panjang ini umpama mahu membeli tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia itu merupakan perkara biasa bagi pengguna di stesen tersebut. (AH) Oleh sebab barisan yang terlalu panjang, mereka tidak dapat menggunakan perkhidmatan tersebut pada waktu yang sepatutnya. (AP) Kesannya ialah pengguna lewat sampai ke tempat kerja.

Di samping itu, (AJ) jumlah perkhidmatan yang disediakan tidak mencukupi untuk menampung jumlah pengguna yang ramai. (AH) Bagi wanita yang sarat mengandung, mereka terpaksa menunggu sehingga jumlah penumpang yang beratur berkurangan sebelum menaiki LRT. (AH) Dalam keadaan yang sarat, mereka tidak mungkin dapat ‘bersaing’ dengan penumpang lain. (AH) Oleh sebab penumpang terlalu ramai dan jumlah gerabaknya terhad, maka mereka terpaksa menunggu tren yang berikutnya. (AH) Bagi perkhidmatan tren komuter KTMB yang menjanjikan ketibaan setiap 20 minit, sentiasa terlewat daripada jadual pada waktu puncak, iaitu pagi dan petang, kadang-kadang terlewat sehingga 15 minit. (AH) Selain lewat, gerabaknya penuh dengan penumpang yang menyebabkan mereka yang menunggu tidak dapat menaiki tren tersebut. (AH) Mereka terpaksa menunggu tren berikut yang mungkin akan mengambil masa sampai 20 hingga 30 minit kemudian. (AH) Namun, tindakan ini masih belum menjamin untuk mereka mendapat tempat. (AH) Sebagai akibatnya, suasana di stesen menjadi tidak terkawal sebaik-baik sahaja tren tiba. (AH) Adegan tolak-menolak merupakan pemandangan biasa kerana jika mengalah sedikit, pasti tidak berpeluang menaiki tren yang sudah padat dengan penumpang.

Bukan itu sahaja, (AJ) perkhidmatan awam yang disediakan untuk pengguna sekarang ini didapati tidak selesa. (AH) Ketidakselesaan ini bukan disebabkan tren atau bas yang disediakan tiada kemudahan yang baik tetapi atas faktor bilangan penumpang yang semakin bertambah. (AH) Untuk memastikan pengguna masuk atau mendapatkan tempat duduk, adakalanya tercetus pergaduhan kecil apabila penumpang yang mahu masuk ke dalam tren bertindak menolak pengguna yang sudah bersesak di bahagian dalam tren. (AH) Perkara sedemikian biasanya berlaku pada waktu pagi apabila semua orang bagaikan tidak dapat bertoleransi kerana bimbang lewat tiba di pejabat. (AH) Bagi pengguna yang bersikap sabar, mereka terpaksa mengalah dan melepaskan dua hingga empat tren komuter kerana masalah kesesakan itu. (AH) Mereka tidak sanggup untuk bersesak-sesak seperti ‘sardin di dalam tin’ dan kena tolak pula dengan orang yang tidak bertimbang rasa. (AH) Masalah ini sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat kota ketika ke tempat kerja dengan menggunakan perkhidmatan awam. (AP) Walaupun tidak selesa, mereka terpaksa jua untuk menggunakan perkhidmatan itu ke tempat kerja kerana tiada pilihan lain, ditambah pula kesan daripada kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Sebagai kesimpulannya, (A Ksmpln) tahap perkhidmatan awam di negara kita menghadapi masalah yang perlu diselesaikan oleh pihak kerajaan. (AC) Untuk menangani masalah ini, pihak kerajaan sedang merancang untuk menubuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang akan memulakan tugas secepat yang mungkin. (A Hrpn) Penubuhan suruhanjaya ini yang bakal beroperasi pada pertengahan tahun depan merupakan bukti komitmen kerajaan untuk memastikan sistem dan infrastruktur pengangkutan awam negara memenuhi piawai antarabangsa. (A Hrpn) Dengan penubuhan suruhanjaya ini, kerajaan akan memastikan sektor pengangkutan mempunyai garis panduan dasar yang jelas dan fokus untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam di negara kita.

Monday, March 21, 2011

Pemenang Kuiz Bersempena dengan Kem Akademik 2011

Nama: Norizzati Tukijo Kelas: 5 Setia

Hadiah : Wang Tunai berjumlah RM10.00


Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Norizzati kerana memanfaatkan teknik yang saya perkenalkan semasa Bengkel Tatabahasa SPM bersempena dengan Kem Akademik SMKSS 2011.