Thursday, March 17, 2011

Program Sehari Selembar Benang

Siri 7 – Perkataan yang mempunyai akar kata `nyata’.

Perkataan: nyata
Maksud:
i. jelas dan terang, pada pendengaran atau penglihatan.
ii. nampak dengan terang dan ketara.
iii. benar-benar ada, maujud atau wujud.

Ayat contoh:
1. Dari jauh tampak nyata lembaga itu.
2. Makin aku perhatikan orang itu, makin nyata tujuannya
3. Dalam kehidupan alam yang nyata, segala-galanya memerlukan pembuktian.

Perkataan: menyatakan
Maksud:
i.. menjadikan nyata, menerangkan, atau menjelaskan.
ii. menampakkan atau menunjukkan.
iii. memberitahu, melaporkan atau memaklumkan.

Ayat contoh:
1. Di dalam buku ini, ada dinyatakan dengan ringkas perihal mengubat penyakit yang biasa terjadi.
2.Ya Tuhanku, hendaklah engkau menyatakan kebesaran-Mu akan hamba-Mu.
3. Ismail berjumpa dengan pegawai tingginya untuk menyatakan ketibaannya.
4.Berkali-kali ia menyatakan keinginannya mahu bertukar kerja.

Perkataan: ternyata
Maksud:
i. sudah nyata, iaitu nampak dengen terang, terbukti, ketahuan, atau ketara.
ii. sudah tersebut atau tertulis, tercatat, atau tersiar.
Ayat contoh:
1.Bakal jodoh yang dipilihnya ternyata sudah ada yang punya.
2.Kesalahannya sudah ternyata.

Perkataan: kenyataan
Maksud:
i. perihal nyata, kejelasan, atau keterangan.
ii. keadaan atau hal yang nyata atau kebenaran.
iii. sesuatu yang dinyatakan atau diberitahu, atau diumumkan, penjelasan, pengumuman, atau sudah nyata, terbukti, atau ternyata

Ayat Contoh:
1.Segala kenyataan telah menghilangkan segala sangkaan.
2. Akhirnya aku terpaksa menerima kenyataan itu juga.
3. Perdana Menteri membuat satu kenyataan penting melalui radio malam ini.
4. Segala maklumat mestilah dipaparkan pada papan kenyataan persatuan dan kelab.

Perkataan: pernyataan
Maksud: kata-kata yang menyatakan atau mengumumkan sesuatu, pemberitahuan, atau permakluman.
Ayat Contoh:
1. Presiden Amerika telah mengeluarkan pernyataan perang untuk menakluk Iram.
2. Satu kajian tentang bahan-bahan galian arkeologi dan juga pernyataan kepercayaan dan pengetahuan tentang bercucuk tanam

Perkataan: penyataan.
Maksud: perbuatan menyatakan atau melahirkan.
Ayat contoh:
1. Kesusasteraan bukanlah lahir daripada kekosongan, tetapi adalah penyataan daripada pergolakan dan perkembangan masyarakat.

Perkataan: penyata.
Maksud: sesuatu yang dinyatakan secara rasmi, permakluman rasmi atau keterangan bertulis tentang sesuatu.
Ayat contoh:
1. Setelah mengetahui untung rugi perniagaan dalam sesuatu masa itu, maka perlulah disiapkan pula satu penyata.
2.Penyata kira-kira ialah keterangan yang menjelaskan kedudukan kira-kira sesuatu pertubuhan atau persatuan.

No comments:

Post a Comment