Monday, February 28, 2011

Karangan SPM --Pendidikan Maya - Fokus SPM 2011

Tema: Pendidikan Maya Kata Kunci: Kepentingan Format: Umum

(AR) Apakah maksud pendidikan maya? (AR) Pendidikan maya ialah pendidikan yang dijalankan melalui talian. (AR) Mereka yang ingin mengikuti pendidikan ini mestilah mempunyai kemudahan mengakses internet. (AA) Apakah kepentingan pendidikan maya ini?

(AJ) Satu daripada kebaikan pendidikan maya ialah seseorang itu dapat melanjutkan pelajaran mengikut jadual sendiri. (AH) Hal ini akan memudahkan seseorang yang cacat atau telah bekerja untuk menyambung pelajaran. (AC) Sebagai contohnya, melalui talian internet seseorang itu boleh mendaftar atau mengikuti pelajaran dari mana-mana lokasi. (AP) Tegasnya, sistem pendidikan maya memberikan peluang untuk belajar kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, (AJ) pendidikan maya dapat menjimatkan masa seseorang. (AH) Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar tidak perlu berkejar ke bilik kuliah. (AC) Sebagai contohnya, golongan yang telah bekerja menghadapi masalah untuk mengikuti pelajaran di bilik kuliah. (AP) Melalui pendidikan maya, mereka hanya perlu menghidupkan suiz komputer.

Seterusnya, (AJ) kebaikan pendidikan maya ialah bahan-bahan pembelajarannya ialah disediakan dalam bentuk cakera padat atau boleh dimuatturunkan melalui laman web. (AH) Kaedah ini dapat menjimatkan penggunaan kertas sekali gus mengatasi pencemaran alam. (AC). Sebagai contohnya, semasa pelajar mendaftar, mereka akan dibekali dengan bahan-bahan pelajaran dalam cakera padat atau nombor pengenalan peribadi untuk mengakses laman web. (AP) Tegasnya, penggunaan cakera pada dan laman web bukan sahaja memudahkan pelajar, malah dapat menyelamatkan bumi daripada pencemaran.

Sebagai kesimpulannya,(A Ksmpln) pendidikan maya dapat memajukan sistem pendidikan di negara kita. (A Pndpt) Pendidikan cara ini akan membolehkan lebih banyak rakyat Malaysia berpeluang untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi. (A Hrpn) Melalui cara ini juga, negara kita akan mencapai taraf negara maju dengan lebih cepat. Oleh itu, (A Cdgn) semua rakyat perlu mengambil peluang untuk mengikuti pelajaran secara maya hingga peringkat tertinggi.

Sunday, February 27, 2011

Pengajaran Peribahasa Berdasarkan Konteks

Soalan:
Isi tempat kosong dengan perkataan, rangkai kata atau peribahasa yang sesuai.

Di negara kita, kes kemalangan jalan raya semakin menjadi-jadi (1) ____ _____ ______ ______ ______ terutamanya pada musim perayaan. Statistik kes (2) _______ di jalan raya ini terus meningkat dari setahun ke setahun. (3) _______ ini menyebabkan pengguna jalan raya mengalami kecederaan dan kehilangan nyawa. Oleh itu, semua pihak mestilah mengambil langkah yang (4) ________, iaitu (5) ______ _____ ______ untuk mengurangkan musibah ini.

Salah satu usaha yang perlu dilakukan ialah setiap pengguna jalan raya perlulah sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya. Mereka mestilah berpegang pada prinsip (6) `______ _______ ______, ______ ______ ______’. Sebagai contohnya, setiap pengguna jalan raya hendaklah mematuhi setiap papan-pan tanda yang terdapat di sepanjang jalan raya. Jika sikap ini diamalkan, kemalangan jalan raya sudah tentu dapat dielakkan.

Selain itu, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya mematuhi undang-undang dan peraturan di jalan raya. Anak-anak perlu diberi pendedahan tentang keselamatan jalan raya sejak kecil kerana jika (7) ______ _______ ______ ________ _______ _______ . Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah melarang anak-anal mereka yang tidak mempunyai lesen motosikal untuk menunggang motosikal. Melalui cara ini, mereka tidak akan mendedahkan diri kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain.

Seterusnya, pihak swasta juga perlulah membantu kerajaan untuk mengadakan kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna tentang keselamatan diri dan keselamatan orang lain ketika berada di jalan raya. Sebagai contohnya, pihak sekolah memandu atau media massa hendaklah mempergiat kempen ini di surat khabar atau di televisyen.. Tegasnya, kempen kesedaran keselamatan di jalan raya ini dapat mendidik masyarakat untuk (8) ______ _______ ______ _________.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah menguatkuasakan semua undang-undang yang ada tanpa (9) _______ ________ bagi mengurangkan kecelakaan di jalan raya. Apabila disaman, pemandu akan berasa serik untuk mengulangi kesalahan tersebut kerana (10) ______ ______ _______ _______ _______ _____. Sebagai contohnya, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan berat, mereka hendaklah dikenakan denda maksimum sejumlah RM300.00. Melalui cara ini, rakyat akan dididik supaya menghormati undang-undang di jalan raya.

Sebagai kesimpulannya, kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa kerana (11) ______ ______ _______. Oleh itu, semua pihak mestilah bekerjasama (12) _____ _______ ________ ________ untuk menangani kes ini. Jika kes ini tidak ditangani dengan segera, banyak anggota keluarga akan kehilangan nyawa atau (13) _______ ________ dengan cara yang sia-sia. Oleh hal yang demikian, kita mestilah mematuhi undang-undang jalan raya dan menghormati hak pengguna yang lain supaya kita tidak menyesal kemudian hari kerana(14) _______ ______ ______ ______ ______ _____ ______. Jadi, slogan yang diuar-uarkan oleh kerajaan, iaitu (15) `______ ______ _______ ________” hendaklah menjadi pedoman kepada kita semua.

Sunday, February 20, 2011

Program Sehari Selembar Benang

Siri 6 – Perkataan yang berdasarkan kata akar `damba’

Perkataan: Damba
Maksud: terlalu ingin (hendak, mahu) akan sesuatu.
Ayat contoh: Pada masa ini, wanita Malaysia damba akan hak yang sama dengan kaum lelaki.

Perkataan: dambaan
Maksud: Keadaan yang terlalu ingin akan sesuatu.
Ayat contoh: Dambaan yang terlalu pilu telah melanda hatinya.

Perkataan: Mendambakan
Maksud: terlalu ingin akan (hendak akan, mahu akan) sesuatu:
Ayat : Pasangan itu mendambakan kehidupan yang bahagia dan penuh dengan kasih sayang.

Perkataan: Didambakan
Maksud: sesuatu yang terlalu diingini atau dimahukan.
Ayat: Kehidupan yang bahagian dan penuh dengan kasih sayang didambakan oleh pasangan itu.

Perkataan: Dambakan
Maksud: terlalu ingin akan sesuatu atau mahu akan sesuatu.
Ayat: Kehidupan yang bahagian dan penuh dengan kasih sayang saya dambakan.

Perkataan: Perdambaan
Maksud: sesuatu yang diinginkan (keinginan) atau dimahukan (kemahuan).
Ayat : Apabila ketamakan melibatkan perdambaan terhadap sifat-sifat orang lain, istilah rasa iri hati digunakan.

Wednesday, February 16, 2011

Rumusan SPM : Penanda Wacana

Banyak pelajar yang gemar menggunakan perkataan `justeru’, `tambahan pula’ dan `sementelahan’ dalam jawapan rumusan SPM. Sebenarnya, perkataan tersebut ialah kata hubung.

Dalam bahasa Melayu, kata hubung sememangnya dapat digunakan sebagai penanda wacana jika penggunaannya tepat dari segi makna dan fungsi atau tujuan. Sila lihat jawapan contoh rumusan yang di bawah ini.

Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.

Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Justeru, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Tambahan pula, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.

Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Sementelahan, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.

Ulasan:

Perkataan `justeru’ bermaksud malahan. Perkataan `tambahan pula’ dan `sementelahan’ bermaksud lebih-lebih lagi. Ayat yang tepat untuk ketiga-tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Saya tidak pernah memperkecil kebolehannya, justeru saya selalu menyokongnya dalam setiap perlawanan.
2. Pemain pasukan itu sangat lincah, tambahan pula tendangannya sering mengelirukan pihak lawan.
3. Kita hendaklah meneruskan serangan yang bertubi-tubi ke pintu gol lawan kerana pasukan kita telah ketinggalan, sementelahan masa permainan tinggal beberapa minit lagi.

Ada sesetengah pengguna bahasa menggunakan perkataan `justeru’ untuk maksud `oleh itu’. Namun demikian, pihak penyusun Kamus Dewan masih belum memberikan makna `justeru’ sebagai `oleh itu’. Oleh hal yang demikian, elakkanlah penggunaan perkataan tersebut sebagai penanda wacana.

Frasa `tambahan pula’ yang berfungsi sebagai kata hubung boleh digunakan sebagai penanda wacana dalam perenggan. Sila lihat contoh yang berikut:

`Pihak kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana remaja yang terlibat dalam aktviti perlumbaan motosikal haram. Tambahan pula, aktiviti ini semakin lama semakin leluasa jika aktiviti mereka dibiarkan. Melalui tindakan yang tegas, mereka akan berasa bimbang untuk mengulangi kesalahan tersebut kerana sekali kena dua kali jalan tahu. Sebagai contohnya, sesiapa yang terlibat dalam kegiatan tersebut, lesen memandu mereka hendaklah digantung selama setahun atau dikenakan penjara jika melibatkan kemalangan. Dengan cara ini, mereka akan meninggalkan kegiatan tersebut dan akan mematuhi undang-undang.

Frasa `tambahan pula’ juga tidak boleh digunakan di awal perenggan karangan sebagai penanda wacana. Hal ini dikatakan demikian kerana frasa tersebut berfungsi untuk memberikan penjelasan lanjut tentang maklumat atau ayat isi sebelumnya. Selain itu, isi yang diperkatakan dalam perenggan itu berbeza dengan isi dalam perenggan sebelumnya. Sebagai contohnya:

Tambahan pula, pihak kerajaan hendaklah mempergiat kempen keselamatan jalan raya sama ada di media massa atau di media cetak. Kempen seperti ini sudah tentu akan dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya bahawa nyawa diri sendiri dan orang lain sangat berharga. Sebagai contohnya, pengguna perlu dipertontonkan kes-kes kemalangan negeri yang menyebabkan kematian dari masa ke masa menerusi televisyen. Melalui cara ini, mereka akan menyedari bahawa mereka perlu menyayangi nyawa diri sendiri dan nyawa orang lain.

Penanda wacana yang sesuai untuk perenggan di atas ialah `selain itu’, `di samping itu’, `bukan itu sahaja’, dan sebagainya.

Jawapan yang tepat:
Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.

Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Selain itu, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Di samping itu, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.

Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Selain itu, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.

Monday, February 14, 2011

Tatabahasa PMR - Latihan

Apakah yang salah dalam ayat ini?

1. Mereka membuat keputusan berdasarkan pada bukti-bukti yang dikemukakan.

Kemukakan jawapan anda serta alasannya. Hantar jawapan anda kepada saya melalui e-mel.

Tatabahasa SPM - Latihan

Apakah yang salah dalam ayat ini?

1.Kesukarelaan merupakan elemen yang paling penting dalam menjayakan sesebuah pergerakan pertubuhan belia.

Kemukakan jawapan anda serta alasannya. Hantar jawapan anda kepada saya melalui e-mel.

Saturday, February 12, 2011

Karangan- penyalahgunaan dadah - Sila baca.

Soalan:
Sebuah persatuan pencegahan dadah di sekolah anda telah menganjurkan kempen antidadah. Selaku pegawai polis di bahagian Narkotik, anda diminta menyampaikan ceramah yang bertajuk "Penyalahgunaan dadah dan keburukannya terhadap pembangunan negara." Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Jawapan:
(AF) Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Hj. Muhammad Hasif b. Abdul Ghalib, Pengetua SMK Seksyen 2, Bandar Bukit Mahkota, En. Abdul Haris Anuar, Penolong kanan Akademik, En. Loganathan, Penolong Kanan HEM, guru-guru serta pelajar yang saya hormati sekalian. (AF) Pada pagi yang mulia ini, saya ingin menyampaikan ceramah yang bertajuk "Penyalahgunaan dadah dan keburukannya terhadap pembangunan negara" sempena minggu antidadah yang telah diadakan baru-baru ini.

Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,
(AR) Penyalahgunaan dadah ini telah menimbulkan pelbagai gejala sosial dalam kalangan masyarakat. (AR) Hal ini juga menjadi punca berlakunya kemunduran pembangunan negara dan juga keruntuhan akhlak dalam kalangan belia di seluruh pelosok negara. (AR) Dadah ini dikategorikan sebagai najis merupakan bahan kimia yang bukan sahaja mampu memudaratkan kesihatan fizikal, malahan kesihatan mental seseorang individu jika disalahgunakan tanpa preskripsi pakar perubatan.

Dadah sememangnya tidak menjadi asing lagi dalam kalangan anggota masyarakat sehingga masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia giat diperdebatkan oleh golongan cendekiawan dan pihak berkuasa kini. Namun begitu, tidak semua dadah berbahaya kepada kesihatan kita. Contohnya, aspirin yang berperanan untuk melegakan kesakitan yang dialami oleh para pesakit sering digunakan di pusat-pusat kesihatan dan hospital di seantero dunia kerana ubat ini tidak akan menjejaskan kesihatan serta tidak meninggalkan kesan terhadap kesihatan fizikal dan juga mental. Tegasnya, dalam hal ini, dadah penting sebagai ubat atau bahan untuk melegakan pesakit.

Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,
Pada hakikatnya, kebanyakan dadah akan memudaratkan dan menyebabkan perkembangan mental kita terbantut serta menyebabkan seseorang bertindak secara tidak rasional seperti keganasan yang memuncak secara membuta tuli dan juga hilang pertimbangan. Contoh-contoh dadah yang saya nyatakan tadi termasuklah heroin, morfin, kokain dan sebagainya. Hal inilah yang menyebabkan pihak kerajaan mengharamkan individu menyalahgunakannya. Tegasnya, sesiapa yang didapati mengedar dadah jenis ini, mereka akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Seterusnya, sindiket penyeludupan dadah di negara kita semakin menjadi-jadi sehinggakan ramai orang terjerumus ke lembah dadah terutamanya golongan belia. Hal ini demikian kerana mereka kurang diberi perhatian oleh ibu bapa mereka yang leka dibawa arus permodenan. Sebagai contoh, bilangan pusat serenti di negara kita sentiasa bertambah penghuninya dari semasa ke semasa. Selain penagih tegar, penagih baharu juga menampakkan pertambahannya.

Hadirin dan hadirat sekalian,
Fenomena yang menyedihkan ini akan menjejaskan pembangunan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana gejala ini akan menyebabkan negara kita akan mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja yang berkemahiran. Sebagai contoh, oleh sebab banyak golongan remaja yang terbabit dengan gejala penyalahgunaan dadah, banyak pekerja kilang didominasikan oleh pendatang asing. Secara keseluruhannya, sekiranya masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia masih tidak dititikberatkan, nescaya negara kita akan gagal menyahut cabaran bagi merealisasikan impian negara ke arah Wawasan 2020.

Akhir kata , golongan belia seharusnya membuat persiapan yang sepenuhnya serta menerapkan semangat kental ke dalam jiwa mereka kerana rakyat sejagat menaruh harapan tinggi terhadap mereka yang merupakan tonggak ke arah kecemerlangan negara dan melahirkan negara yang bertaraf metropolis. Ingatlah, "Negara Maju tanpa Dadah"

Sekian, terima kasih.

Friday, February 11, 2011

Program Sehari Selembar Benang

Siri 5 –perkataan berakhiran –an

Perkataan: gerangan
Makna: Kata yang ditambahkan pada kata tanya untuk menunjukkan peraaan bimbang atau waswas atau agaknya atau barangkali.
Ayat: Siapakah gerangan yang mengambil beg yang aku letakkan di sini tadi?

Perkataan: berangan
Makna: Nama sejenis pokok atau buahnya yang berkulit keras (Quercus oidocarpa)
Ayat: Mereka begitu suka makan buah berangan walaupun kulitnya keras.

Perkataan: barangan
Makna: Benda atau perkhidmatan yang dijualbelikan.
Ayat: Setiap barangan yang diiklankan mestilah mematuhi peraturan yang ditetapkan

Perkataan: larangan
Makna: Perintah melarang seseorang daripada melakukan sesuatu atau tegahan.
Ayat: Seluruh kawasan letak basikal itu diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

Perkataan: bayangan
Makna: Petanda
Ayat: Perdana Menteri telah memberikan bayangan bahawa parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi.

Perkataan: kayangan
Makna: tempat kediaman dewa-dewa atau keinderaan.
Ayat: Rakyat pada masa dahulu disogokkan bahawa raja berasal dari kayangan.

Thursday, February 10, 2011

Pertandingan Penulisan Esei 2011

Semua murid SMK Seri Serdang digalakkan untuk menyertai pertandingan penulisan esei. Maklumat pertandingan tersebut adalah seperti yang berikut:

Monday, February 7, 2011

Sunday, February 6, 2011

Program Sehari Selembar Benang

Siri 4 –Perkataan Homograf
Homograf: Homograf ialah perkataan yang bunyi berbeza-beza walaupun ejaannya sama. Makna perkataan juga berbeza mengikut bunyi sebutannya.

Perkataan: Rendang
Maksud : masakan
Ayat: Makcik Rubiah memasak rendang daging untuk dihidangkan kepada tetamu pada hari raya.

Perkataan: Rendang
Maksud: sifat pohon
Ayat: Setelah bermain bola sepak, kami berehat di bawah sebatang pohon yang rendang untuk melepaskan penat.

Perkataan: Perang
Maksud: bertempur
Ayat: Kebanyakan pelarian yang tinggal di khemah tersebut merupakan mangsa perang.

Perkataan: Perang
Maksud: warna
Ayat: Kebanyakan orang Eropah mempunyai rambut berwarna perang kerana mereka berkulit putih.

Perkataan: Semak
Maksud: periksa
Ayat: Buku akaun itu saya semak berkali-kali untuk memastikan jumlah wang yang dimasukkan itu betul.

Perkataan: Semak
Maksud: tumbuhan kecil
Ayat: Ayam itu berlari ke arah semak apabila cuba ditangkap oleh abang.

Perkataan: Semak
Maksud: tidak kemas
Ayat: Biliknya ditinggalkan dalam keadaan semak dan tidak berkemas kerana dia terlewat ke sekolah.

Saturday, February 5, 2011

Rancangan Pelajaran Tahunan BM Tg.5

Kepada guru-guru Bahasa Melayu Tg. 5,
Dimaklumkan bahawa Rancangan Pelajaran BM Tg. 5 mengandungi beberapa kesilapan. Saya sedang berusaha untuk membetulkan kesilapan tersebut. Apabila siap, saya akan mencetaknya dan mengedarkan RPT tersebut kepada semua guru yang berkenaan. Kesilapan yang berlaku amatlah dikesali.

Drp:
En. Abdul Ghalib bin Yunus

Friday, February 4, 2011

Jadual Pembentangan Ujian Lisan Bahasa Melayu 2011

Pembentangan KOMSAS untuk Ujian Lisan 2011 (Kelas 5 Mulia dan 5 Rasional)

14-18Feb Drama `Tiang Cengal Dinding Sayung’- 4 orang – 2 Lelaki dan 2 Perempuan

21-25Feb Ujian Intervensi

28-4Mac Cerpen-Pungut Alias Zahara Alias –
4 orang – 2 Lelaki dan 2 Perempuan

7-11Mac Prosa-Hikayat Siak
4 orang – 2 Lelaki dan 2 Perempuan

14-18Mac cuti
21-25Mac Ujian Setara 1

28-1April Sajak `Kecek-(V)’
4 orang – 2 Lelaki dan 2 Perempuan

4-8April Interlok-Tema dan Persoalan
Interlok-Watak dan Perwatakan
4 orang – 2 Lelaki dan 2 Perempuan

11-15April Pantun 8 Kerat
Syair Pemberontakan Patani
3 orang – 2 Lelaki dan 1 Perempuan
Atau 2 perempuan dan 1 lelaki

18-22April Drama `1400’
3 orang – 2 Lelaki dan 1 Perempuan
Atau 2 perempuan dan 1 lelaki

25-29April Cerpen-Idola
Cerpen -Penanggungan
3 orang – 2 Lelaki dan 1 Perempuan
Atau 2 perempuan dan 1 lelaki

2-6 Mei Prosa-Dua Geliga Hikmat
3 orang – 2 Lelaki dan 1 Perempuan
Atau 2 perempuan dan 1 lelaki

9-13Mei Pep. Setengah Tahun
16-20Mei Pep. Setengah Tahun
23-27Mei Pep. Setengah Tahun
30-3Jun cuti
6-10Jun cuti

Tarikh Pembentangan dan bilangan pembentang
Tarikh: Pembentang
14-18Feb 4 orang
21-25Feb Ujian Intervensi
28-4Mac 4 orang
7-11Mac 4 orang
14-18Mac cuti
21-25Mac Ujian Setara 1
28-1April 4 orang
4-8April 4 orang
11-15April 3 orang
18-22April 3 orang
25-29April 3 orang
2-6 Mei 3 orang

Peringatan:
1. Tarikh ULBS akan bermula pada 14 Februari 2010 dan berakhir pada 6 Mei 2011.
2. Semua murid mestilah bersedia pada tarikh yang telah ditentukan.
3. Tajuk yang telah ditentukan tidak boleh diubah.
4. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan markah anda terjejas.

Thursday, February 3, 2011

Program Sehari Selembar Benang

Siri 3-Perkataan yang hampir sama maknanya.

Perkataan: menutuh
Maksud:. memotong dahan atau cabang kayu, memangkas, mencantas:
Ayat: Bapa sedang menutuh dahan-dahan nangka di belakang rumah itu.

Perkataan: menakik
Maksud: melukai sesuatu dengan parang untuk membuat takik dengan menggunakan parang.
Ayat: Pak Samad menakik batang pokok itu untuk membuat tempat pemijak sebelum memanjatnya.

Perkataan: memangkas
Maksud: memotong hujung tumbuh-tumbuhan supaya pendek
Ayat: Mereka memangkas pokok-pokok kertau itu supaya sentiasa rendah dan mudah dipetik daunnya.

Perkataan: mencantas
Maksud: memangkas atau memancung hujung dahan dan sebagainya
Ayat: Pak Abu mencantas dahan pokok rambutannya yang berbuah lebat itu.

Tatabahasa : Memisahkan ayat

Soalan 1:Pisahkan ayat-ayat majmuk di bawah ini kepada ayat-ayat tunggal:

1. Mereka bertepuk tangan sambil bersorak.
2. Pengajaran guru itu mudah difahami, tambahan pula penyampaiannya sangat menarik.
3. Saya tidak pernah menceritakan keburukannya, justeru saya sering memujinya.
4. Ibu ke pasar dahulu, kemudian ke kedai runcit.
5. Ayah dan ibu akan menghadiri majlis itu.
6. Yogeswaran otak cair tetapi malas berusaha.
7. Kehadiran murid sangat baik pada hari biasa, tetapi kehadiran murid pada hari Sabtu sangat tidak memuaskan.
8. Saya akan ke Kuala Lumpur, manakala abang akan ke Seremban.
9. Harga pakaian itu terlalu mahal, pada hal kualitinya rendah.
10. Kita mesti bertolak sekarang kerana hari semakin gelap, sementelahan tempat perkehemahan itu masih jauh.

Gurindam Kepentingan Disiplin

Disiplin diterap sedari awal,
Nescaya tingkah laku dapat dikawal

Jika dipatuhi peraturan sekolah,
Prestasi akademik pasti menyerlah.

Masalah disiplin segera ditangani,
Suasana sekolah terjamin harmoni.

Bijak pelajar menguruskan waktu,
Kejayaan dicapai disiplinlah penentu.

Susun jadual menelaah pelajaran,
Masa depan beroleh sinaran.

Rajin ke sekolah tak pernah ponteng,
Dapat segala pengetahuan penting.

Disiplin mengikuti pengajaran guru,
Pemahaman jelas menghapus keliru.

Patuh nasihat dan tunjuk ajar,
Itulah punca kejayaan pelajar.

Jauhilah sebarang kegiatan negatif,
Fikiran terbimbing kea rah positif.

Disiplin membentuk modal insane,
Generasi seimbang pendidikan berkesan.

Nukilan:
Nazim Mohd Subari, Endau Johor,
(Dewan Siswa, APRIL 2010)

Wednesday, February 2, 2011

Strategi Penulisan karangan PMR

Untuk memastikan pelajar dapat mentakrif soalan dengan tepat, pelajar mestilah mempunyai strategi tertentu. Strategi yang dicadangkan ialah T, K, F. Maksudnya ialah calon dikehendaki meneliti soalan karangan daripada tiga perkara, iaitu Tema (T), Kata kunci soalan (K) dan Format (F). Lihat soalan karangan contoh di bawah ini:

Soalan Contoh:

Anda ingin menulis rencana tentang faktor-faktor yang menarik kehadiran pelancong ke negara kita untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis rencana tersebut selengkapnya.

Ulasan:

Sebelum menjawab soalan karangan ini, pelajar mestilah menentukan tema karangan tersebut. Karangan ini bertemakan peperangan (T= Pelancongan). Kata kunci soalan karangan ini ialah faktor (K= Faktor), manakala format karangan ini ialah berformat umum, iaitu karangan jenis pendapat yang memerlukan perenggan pengenalan, perenggan isi dan penutup. (F= Rencana). Ringkasnya:

Tema: Pelancongan
Kata Kunci : Faktor
Format: Rencana

Selepas aspek ini ditentukan, barulah calon menulis rangka karangan tersebut seperti yang di bawah ini:

Isi:
1. memiliki pantai yang bersih dan cantik.
2. banyak mempunyai tempat yang menarik
3. mempunyai makanan tradisi yang enak dan lazat
4. negara kita yang aman dan damai

Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan hendaklah mempunyai dua jenis ayat, iaitu ayat rangsangan (AR) dan Ayat Arahan (AA). Ayat rangsangan(AR) ialah ayat yang berkaitan dengan tema, manakala ayat arahan (AA) ialah ayat yang menjawab soalan atau kata kunci karangan. Contoh:

(AR) Akhir-akhir ini, negara kita menjadi tumpuan pelancong dari seantero dunia. (AR) Hal ini menyebabkan sektor pelancongan memberikan sumbangan yang besar kepada pendapatan negara. (AR) Selain itu, industri pelancongan telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. (AA) Sebenarnya, terdapat banyak faktor yang menyebabkan pelancong menjadikan negara kita sebagai destinasi mereka.

Perenggan Isi

Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandungi empat ayat dalam setiap perenggan, iaitu Ayat Judul (AJ), Ayat Huraian (AH), Ayat Contoh (AC), dan Ayat Penegas (AP).

Ayat Judul ialah ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab pokok persoalan karangan. Ayat judul ini boleh diletakkan pada bahagian awal, di tengah atau di hujung sesuatu perenggan.

Ayat Huraian pula ialah huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukakan yang bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama.

Ayat Contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan yang bertujuan untuk memperkuat hujah.

Ayat Penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian yang dikemukakan. Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti tegasnya, oleh itu, sehubungan dengan itu, dan sebagainya.

Jawapan Contoh untuk Perenggan Isi


(AJ) Satu daripada faktornya ialah negara kita memiliki pantai yang bersih dan cantik. (AH) Kebanyakan pantai di negara kita sesuai untuk ahli keluarga berehat dan bersiar-siar. (AC) Sebagai contohnya, pantai yang selalu menjadi tumpuan pelancong ialah Pantai Port Dickson di Negeri Sembilan dan juga pantai Tanjung Bidara di Melaka. (AP) Dengan adanya pantai yang seperti ini, mereka akan datang ke negara kita untuk bersantai bersama ahli keluarga.

Perenggan Penutup

Ayat dalam perenggan penutup ini terdiri daripada ayat kesimpulan (AK) , ayat cadangan (A.Cdgn), ayat pendapat (A.Pdpt), ayat Harapan, (A.Hrpn), Ayat Penutup (Apntp), dan sebagainya.

Contoh:

Sebagai kesimpulannya, (AK) sektor pelancongan di negara kita mempunyai masa depan yang cerah untuk berkembang maju disebabkan negara kita mempunyai pelbagai kelebihan. (A Cdgn) Oleh itu, kita mestilah mengeksploitasikan segala kelebihan yang ada untuk menarik kehadiran pelancong ke negara kita. (A Cdgn) Oleh itu, kita mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memajukan sektor pelancongan kita.


Dari segi ayat dalam perenggan, terdapat perbezaan antara ayat dalam karangan berformat umum dengan jenis ayat dalam karangan berformat khusus. Dalam karangan berformat khusus pula, selain ayat rangsangan (AR), terdapat juga Ayat Format (AF). Ayat ini dinamakan ayat format (AF) kerana bentuk-bentuk ayat tersebut perlu ada dalam karangan yang berformat khusus. Contoh ayat format adalah seperti yang berikut:

1. Menemui sahabatku yang kini berada di Pulau Pinang semoga berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. (Surat Kiriman Tidak Rasmi)
2. Merujuk kepada perkara di atas …(Surat Kiriman Rasmi)
3. Sekian, terima kasih. (Surat Kiriman Rasmi)
4. Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis….(Syarahan)
5. Selamat pagi, Tuan Haji Zainudin. (Wawancara)

Selain itu, perenggan bagi karangan yang berformat berita dan laporan tidak memerlukan ayat judul, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas. Ayat dalam perenggan jenis karangan ini memerlukan isi tentang apa, siapa, mengapa, di mana, bila dan bagaimana (5W1H). Oleh hal yang demikian, ayat-ayat yang terdapat dalam karangan jenis ini merupakan ayat yang berbentuk fakta dan huraian lanjut.

Bagi karangan yang berbentuk keperihalan, gambaran, pengalaman atau cerita, perenggan yang dibina mestilah terdiri daripada beberapa peringkat. Sebagai contohnya, karangan berbentuk keperihalan atau gambaran memerlukan penceritaan pada peringkat sebelum, semasa dan selepas. Karangan yang berbentuk cerita pula hendaklah mempunyai bahagian permulaan, perkembangan, puncak, ketegangan dan peleraian.

Sebagai kesimpulannya, terdapat sedikit perbezaan dari segi jenis ayat dalam perenggan karangan berformat umum dengan perenggan karangan yang berformat khusus. Yang penting ialah setiap isi mesti mempunyai huraian, contoh, dan penegasan atau kesimpulan kecil. Untuk melihat perbezaan jenis ayat dalam setiap perenggan tersebut, setiap ayat ditandai dengan jenis ayat seperti Ayat Format (AF), Ayat Rangsangan (AR), Ayat Arahan (AA), Ayat Judul (AJ), Ayat Huraian (AH), Ayat Contoh (AC), Ayat Penegas (AP), Ayat Kesimpulan (A Kspln), Ayat Cadangan (A Cdgn), Ayat Penilaian ( A Pnln), Ayat Komen (A Kmn), Ayat Pendapat (A Pndpt), Ayat Harapan (A Hrpn), Ayat Penutup (A Pntp), dan sebagainya.

Soalan:

Kenaikan harga barang di negara kita semakin sukar untuk dibendung. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghadapi kenaikan ini.

Jawapan:

Strategi:
T=Kenaikan harga barang
K=Langkah
F=Umum


Isi:
1. Diri-Berjimat cermat
2. Keluarga-rancang perbelanjaan
3. Masyarakat-Boikot barang yang mengalami kenaikan
4. Kerajaan-menguatkuasakan undang-undang

Karangan contoh:

(AR) Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. (AR) Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. (AR) Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. (AA) Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini bak kata pepatah ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

(AJ) Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. (AH) Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. (AC) Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100%, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60% sahaja. (AH) Wang selebihnya hendaklah kita simpan. (AP) Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, (AJ) ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. (AH) Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. (AH) Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. (AC) Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. (AP) Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, (AJ) semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. (AH) Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. (AC) Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. (AP) Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, (AJ) pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. (AH) Pegawai yang bertanggung jawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. (AC) Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. (AP) Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Sebagai kesimpulannya, (A Ksmpln) kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, (A Cdgn) semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. (A Hrpn) Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. (A Cdgn) Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. (A Cdgn) Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

Latihan - Lengkapkan karangan ini dengan maklumat yang sesuai

Soalan:
Isi tempat kosong dengan perkataan, rangkai kata, slogan atau peribahasa yang sesuai.

Di negara kita, kes kemalangan jalan raya semakin menjadi-jadi (1) ____ _____ ______ ______ ______ terutamanya pada musim perayaan. Statistik kes (2) _______ di jalan raya ini terus meningkat dari setahun ke setahun. (3) _______ ini menyebabkan pengguna jalan raya mengalami kecederaan dan kehilangan nyawa. Oleh itu, semua pihak mestilah mengambil langkah yang (4) ________, iaitu (5) ______ _____ ______ untuk mengurangkan musibah ini.

Salah satu usaha yang perlu dilakukan ialah setiap pengguna jalan raya perlulah sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya. Mereka mestilah berpegang pada prinsip (6) `______ _______ ______, ______ ______ ______’. Sebagai contohnya, setiap pengguna jalan raya hendaklah mematuhi setiap papan-pan tanda yang terdapat di sepanjang jalan raya. Jika sikap ini diamalkan, kemalangan jalan raya sudah tentu dapat dielakkan.

Selain itu, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya mematuhi undang-undang dan peraturan di jalan raya. Anak-anak perlu diberi pendedahan tentang keselamatan jalan raya sejak kecil kerana jika (7) ______ _______ ______ ________ _______ _______ . Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah melarang anak-anal mereka yang tidak mempunyai lesen motosikal untuk menunggang motosikal. Melalui cara ini, mereka tidak akan mendedahkan diri kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain.

Seterusnya, pihak swasta juga perlulah membantu kerajaan untuk mengadakan kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna tentang keselamatan diri dan keselamatan orang lain ketika berada di jalan raya. Sebagai contohnya, pihak sekolah memandu atau media massa hendaklah mempergiat kempen ini di surat khabar atau di televisyen.. Tegasnya, kempen kesedaran keselamatan di jalan raya ini dapat mendidik masyarakat untuk (8) ______ _______ ______ _________.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah menguatkuasakan semua undang-undang yang ada tanpa (9) _______ ________ bagi mengurangkan kecelakaan di jalan raya. Apabila disaman, pemandu akan berasa serik untuk mengulangi kesalahan tersebut kerana (10) ______ ______ _______ _______ _______ _____. Sebagai contohnya, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan berat, mereka hendaklah dikenakan denda maksimum sejumlah RM300.00. Melalui cara ini, rakyat akan dididik supaya menghormati undang-undang di jalan raya.

Sebagai kesimpulannya, kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa kerana (11) ______ ______ _______. Oleh itu, semua pihak mestilah bekerjasama (12) _____ _______ ________ ________ untuk menangani kes ini. Jika kes ini tidak ditangani dengan segera, banyak anggota keluarga akan kehilangan nyawa atau (13) _______ ________ dengan cara yang sia-sia. Oleh hal yang demikian, kita mestilah mematuhi undang-undang jalan raya dan menghormati hak pengguna yang lain supaya kita tidak menyesal kemudian hari kerana(14) _______ ______ ______ ______ ______ _____ ______. Jadi, slogan yang diuar-uarkan oleh kerajaan, iaitu (15) `______ ______ _______ ________” hendaklah menjadi pedoman kepada kita semua.

Tuesday, February 1, 2011

Cara untuk menulis jawapan rumusan SPM:

Soalan Contoh:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang keistimewaan bioteknologi dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut .Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan”

Jawapan Pengenalan:
(1) Petikan membincangkan keistimewaan bioteknologi di negara kita. [1M]
(2) Petikan ini tentang keistimewaan bioteknologi di negara kita dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut. [0M]
(3) Petikan membincangkan kelebihan bioteknologi di negara kita. [2M]
(4) Petikan membincangkan manfaat bioteknologi di negara kita.[2M]
(5) Petikan membincangkan kebaikan bioteknologi di negara kita.[2M]

Jawapan Isi Tersurat:
Keistimewaan bioteknologi ialah petani dapat bercucuk tanam walaupun di kawasan tanah yang tidak subur. Selain itu, bioteknologi dapat membantu petani untuk mengatasi masalah serangga perosak. Seterusnya, bioteknologi dapat menghasilkan padi yang bermutu tinggi. Bioteknologi yang tidak menggunakan racun perosak pula dapat memelihara alam sekitar. Bioteknologi dalam bidang pertanian juga dapat mengatasi masalah rumpai. Bukan itu sahaja, bioteknologi dapat menghasilkan makanan yang berkhasiat dan bervitamin. Di samping itu, bioteknologi dapat menghasilkan insulin untuk pesakit diabetis. Akhir sekali, bioteknologi mampu merawat bahan-bahan buangan bertoksik yang berbahaya.

Jawapan Isi Tersurat:
Satu daripada langkah untuk menggalakkan rakyat menceburi bidang ini ialah pihak kerajaan hendaklah memperbanyak kursus Bioteknologi di universiti. Selain itu, kerajaan hendaklah memberikan anugerah kepada saintis negara yang menghasilkan dapatan bioteknologi yang terbaru.

Jawapan Kesimpulan:
Kesimpulannya, semua pihak hendaklah menyokong bidang bioteknologi supaya bidang ini dapat meningkatkan pembangunan negara.

Kesalahan Bahasa yang sering dilakukan:

Petikan menyatakan tentang kebaikan bioteknologi….[x]
Petikan menyatakan kebaikan bioteknologi….[/]

Salah satu daripada kebaikan bioteknologi..[x]
Salah satu kebaikan bioteknologi..[/]
Satu daripada kebaikan bioteknologi[/]
Satu daripada kebaikannya ialah…[/]

Antara kebaikan-kebaikan bioteknologi ialah…[x]
Antara kebaikan bioteknologi ialah…[/]
Antara kebaikannya ialah …[/]

Selain daripada itu,[x]
Selain itu, ….[/]

Sehubungan itu,[x]
Sehubungan dengan itu, [/]

Elkkan penggunaan perkataan `justeru', `tambahan pula', dan `manakala' dalam penulisan rumusan.Ketiga-tiga perkataan ini ialah kata hubung. Sebenarnya, banyak murid yang menggunakan kata hubung tersebut sebagai penanda wacana tidak tepat.

Program Sehari Selembar Benang

Siri 2- Bahasa Istana

Perkataan: berkenan
Maksud: bersetuju
Ayat: Baginda telah berkenan untuk merasmikan kempen masyarakat penyayang yang akan diadakan di Kompleks Budiman esok.

Perkataan: Berangkat
Maksud: pergi
Ayat: Sultan negeri itu akan berangkat ke Tanah Suci esok.

Perkataan: Bertitah
Maksud: berkata
Ayat: Dalam majlis itu, baginda bertitah bahawa semua pihak harus saling-menghormati supaya perpaduan terus terpelihara.

Perkataan: bersiram
Maksud: mandi
Ayat: Tuan Puteri sedang bersiram dengan inang pengasuh di Taman.

Perkataan: bersemayam
Maksud: tinggal
Ayat: Baginda akan bersemayam di Istana Kayangan mulai 1 Februari 2011.

Perkataan: beradu
Maksud: tidur
Ayat: “Beta ingin beradu sekarang kerana hari sudah larut malam,” titah Sultan kepada pegawai istana baginda.