Saturday, January 29, 2011

Ayat sendiri dalam Ringkasan PMR

Salam sejahtera,

Segala usaha dan iltizam Tuan Munsyi Dewan amat dihargai. Sehubungan dengan BM 02/2 (PMR), yakni soalan RINGKASAN, saya mendapati bahawa banyak calon / pelajar yang mempunyai tanggapan salah mengenai pendekatan membuat ringkasan yang mantap. Salah satu kriteria pemarkahan ialah berupaya menggunakan ayat sendiri, yakni (i) pemilihan kata yang tepat; (ii) ayat yang gramatis; dan (iii) penanda wacana yang sesuai. Berhubung dengan kriteria (i), para calon/pelajar begitu ghairah menggunakan kata sendiri sewenang-wenang sehingga maksud asal isi terpesong. Hal ini sudah tentu memeningkan kepala para guru / pemeriksa. Pada pengamatan saya, para pelajar tidak diberi gambaran yang sebenarnya berhubung dengan pemilihan kata yang tepat.

Besarlah harapan saya bahawa Tuan Munsyi dapat meleraikan permasalahan ini, yakni perbezaan antara pemilihan kata yang tepat dengan penggunaan kata sendiri.

Sekian.

Munsyi Bahasa, Pulau Pinang.

Jawaban:
Ayat sendiri bermaksud ayat yang tidak disalin bulat-bulat daripada petikan dari mula hingga akhir. Maksudnya ialah tiada perubahan, pengguguran atau penggantian dibuat. Jika seseorang murid melakukan perubahan seperti pengguguran atau penggantian, ayat yang dibina ialah ayat sendiri. Hal ini termasuklah penukaran atau pengguguran yang melibatkan satu perkataan sahaja. Dalam jawaban ringkasan PMR dan SPM, murid tidak digalakkan menukarkan kata kunci jawaban kepada perkataan lain kerana hal ini akan menyusahkan pemeriksa.

Saya amat bersetuju dengan pendapat tuaan bahawa banyak pihak yang tidak memahami konsep ayat sendiri dalam jawaban ringkasan atau rumusan. Hal ini menyebabkan murid menyalin jawaban yang jauh berbeza dengan jawapan dalam skema jawaban. Oleh hal yang demikian, semua calon PMR dan SPM hendaklah memahami konsep ayat sendiri dalam peperiksaan.

No comments:

Post a Comment