Saturday, January 29, 2011

Siri -1-Strategi Penulisan Karangan SPM

Ada Empat (4) perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh murid sebelum menulis karangan dalam peperiksaan. Hal ini bertujuan supaya murid dapat menulis karangan yang dikehendaki oleh pemeriksa, iaitu :

1- Tepat: Karangan yang ditulis mestilah tepat dengan kehendak soalan dan format.
2- Isi - menulis isi yang cukup serta huraian yang lengkap.
3- B - mempamerkan penggunaan bahasa yang baik sama ada ejaan, tanda baca, kosa kata, istilah, frasa, ayat, dan sebagainya.
4- P-menunjukkan kemampuan mengolah bahasa dengan baik dan lancar.

1- Mengenal Pasti Kehendak Soalan

Untuk memastikan kehendak pertama dipenuhi, iaitu calon dapat mentakrif soalan dengan tepat, calon mestilah mempunyai strategi tertentu.

Strategi yang dicadangkan ialah T, K, F. Maksudnya ialah calon dikehendaki meneliti soalan karangan daripada tiga perkara, iaitu Tema (T), Kata kunci soalan (K) dan Format (F). Lihat soalan karangan contoh di bawah ini:

Soalan:
Dunia pada alaf baharu ini tercemar dengan beberapa siri peperangan. Banyak peperangan yang berlaku sama ada antara dua buah negara jiran mahupun negara kuasa besar dengan negara yang kecil. Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku.

Ulasan:
Sebelum menjawab soalan karangan ini, pelajar mestilah menentukan tema karangan tersebut. Karangan ini bertemakan peperangan (T= Peperangan). Kata kunci soalan karangan ini ialah Kesan (K= kesan), manakala format karangan ini ialah berformat umum, iaitu karangan jenis pendapat yang memerlukan perenggan pengenalan, perenggan isi dan penutup. (F= Pendapat/umum). Ringkasnya:

Tema: Peperangan
Kata Kunci: Kesan
Format: Pendapat /Umum

Soalan Contoh 2:
Dalam era globalisasi ini, banyak institusi pendidikan tinggi menawarkan pendidikan secara maya. Pada pendapat anda, apakah kebaikan pendidikan secara maya yang dijalankan secara leluasa di negara kita.
Strategi:

T = Pendidikan secara maya
K= kebaikan
F = umum

Bentuk Soalan
Dalam Bahagian B Kertas 1 Bahasa Melayu, terdapat dua jenis soalan, iaitu soalan berbentuk Khusus dan soalan berbentuk umum. Soalan yang berbentuk khusus mengandungi kata kunci soalan, manakala soalan yang berbentuk umum tidak mempunyai kata kunci. Kebanyakan calon menghadapi masalah untuk menjawab soalan yang tidak mempunyai kata kunci.

Soalan yang berbentuk umum

Contoh 1:
Anda ingin menulis rencana yang bertajuk `Disiplin Asas Kejayaan” untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Sediakan rencana tersebut dengan lengkap.

Ulasan:
Calon akan menghadapi masalah untuk menulis karangan ini keranan soalan ini berbentuk umum. Dalam soalan karangan yang berbentuk umum, kata kunci soalan tidak dinyatakan. Oleh hal yang demikian, murid perlu menentukan kata kunci soalan ini. Cara untuk menentukan kata kunci soalan untuk karangan ini ialah calon perlu menggunakan Teknik 5W1H. Calon hendaklah bertanya kepada diri sendiri tantang mengapa atau sebab (Mengapakah disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan?) dan bagaimana atau cara (Bagaimanakah disiplin yang baik menjadi asas kejayaan?). Dengan berdasarkan soalan yang dikemukakan kepada diri sendiri itu tadi, calon akan mengetahui kata kunci untuk soalan karangan tadi. Oleh itu, terdapat dua kata kunci yang sesuai untuk soalan karangan tersebut. Jadi, karangan tersebut boleh ditulis sama ada kepentingan disiplin dan usaha-usaha untuk meningkatkan tahap disiplin dalam kalangan murid.

Cara yang kedua ialah murid hendaklah membina ayat yang berikut:

1- Disiplin sangat penting kerana disiplin merupakan asa kejayaan seseorang.
2- Oleh sebab disiplin merupakan asas kejayaan, usaha –usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan disiplin dalam kalangan murid.

Contoh 2:
Gejala sosial yang semakin leluasa di negara kita berpunca daripada ibu bapa. Sejauh manakah anda bersetuju dengan kenyataan ini?

Ulasan:
Untuk mengenal pasti isi atau kehendak soalan ini, murid mestilah memahami soalan jenis ini. Soalan jenis ini menghendaki calon sama ada bersetuju sepenuhnya atau separuh bersetuju atau tidak bersetuju sepenuhnya. Jika bersetuju sepenuhnya, calon hendaklah mengemukakan empat (4) punca daripada ibu bapa. Jika separuh bersetuju, calon boleh mengemukakan faktor ibu bapa dan tiga (3) faktor lain. Jika tidak bersetuju sepenuhnya, calon boleh mengemukakan empat (4) sebab lain seperti faktor rakan sebaya, pendidikan agama, media massa, dan juga persekitaran.

Contoh 3:
Soalan:
Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan perlulah dijadikan sebagai subjek yang wajib untuk lulus dalam peperiksaan. Bahaskan.

Ulasan:
Soalan ini menghendaki calon sama ada bersetuju sepenuhnya atau tidak bersetuju sepenuhnya. Untuk soalan seperti ini, calon mestilah mengemukakan 3 isi sekurang-kurangnya untuk menyokong pendirian tersebut.

1 comment:

  1. terima kaseh diatas perkongsian ilmu ttg strategi penulisan karangan.izinkan saya mengambilnya sebagai rujukan .

    ReplyDelete