Sunday, January 30, 2011

Karangan PMR - Gejala Cetak Rompak

Arahan: Baca karangan di bawah ini dengan teliti. Isi tempat kosong di dalam kurungan dengan simbol yang sesuai seperti AR, AA, AJ, AH, AC, AP, A Ksmpln, A Cdgn, A Hrpn, A Pnln, A Kmn, A Pndpt, dan sebagainya.
(Jika anda belum menguasai simbol tersebut, sila baca Panduan Umum Penulisan Karangan)

Gejala cetak rompak memberikan impak negatif kepada masyarakat dan negara. Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani gejala ini.

( ) Gejala cetak rompak ialah perbuatan menyalin atau mencetak bahan hak cipta orang atau syarikat untuk dijual. ( )Melalui cara ini, mereka akan mengaut keuntungan berganda. Tindakan ini akan memberikan impak negatif kepada masyarakat dan negara. ( )Sebagai warganegara yang prihatin dan sedar akan tanggungjawab sosial, kita perlulah bertindak untuk menangani gejala cetak rompak ini. ( )Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil untuk menangani gejala ini.

Pertama sekali, ( )kerajaan perlulah bertindak tegas dengan menguatkuasakan undang-undang tanpa memilih bulu. ( )Dalam hal ini, pihak kerajaan hendaklah membuat pemantauan dari semasa ke semasa dari satu premis ke satu premis perniagaan untuk mengawasi dan mengurangkan aktiviti ini. ( )Sebagai contohnya, pihak berkuasa hendaklah mengadakan serbuan dan merampas barang cetak rompak yang dicetak atau dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. ( )Melalui cara ini, kegiatan haram ini akan dapat dikurangkan.

Selain itu, ( )orang ramai hendaklah memberikan maklumat tentang kegiatan cetak rompak ini kepada pihak berkuasa. ( )Maklumat ini kebanyakannya diketahui oleh orang ramai kerana orang ramai merupakan pengguna bahan cetak rompak. ( )Sebagai contohnya, orang ramai hendaklah memberikan maklumat tentang bahan yang dicetak rompak, lokasi, dan sebagainya supaya tangkapan boleh dibuat. ( )Melalui cara ini, pihak berkuasa dapat bertindak dan membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang negara itu.

Di samping itu, ( )kempen kesedaran dan pendidikan kepenggunaan haruslah diadakan dari semasa ke semasa. ( )Kempen atau program seperti ini amat penting untuk memberikan maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat. ( )Usaha murni ini sangat wajar dan bermanfaat untuk mendidik masyarakat. ( )Melalui aktiviti seperti ini, mereka akan menjauhkan diri daripada gejala cetak rompak sama ada membeli, menjual atau mengedarkan bahan cetak rompak.

Bukan itu sahaja, ( )mereka yang terlibat perlulah didakwa di mahkamah. ( )Jika didapati bersalah, mereka hendaklah dikenakan hukuman yang berat seperti denda dan penjara mandatori. ( )Sebagai contohnya, sesiapa yang terlibat dalam gejala ini hendaklah didenda dengan berlipat kali ganda berdasarkan nilai bahan yang dicetak rompak atau dikenakan hukuman 20 tahun penjara. ( )Sesungguhnya, hukuman yang berat adalah antara usaha yang berkesan dalam usaha kerajaan untuk membanteras gejala cetak rompak dalam kalangan mereka yang menjadi parasit negara.


Sebagai kesimpulannya, ( )kita haruslah senantiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani gejala cetak rompak ini agar harta intelek dalam bidang seni muzik, perfileman dan dokumentari yang bermutu tidak diperkotak-katikkan oleh golongan yang cuba menahan lukah di pergentingan. ( )Sebagai pengguna yang bijak pula, kita haruslah senantiasa berkempen dan menggalakkan orang ramai agar membeli dan memiliki bahan yang tulen atau asli. ( )Sesungguhnya, bahan yang tulen biarpun mahal, mutunya terjamin dan terpelihara di samping memberikan kepuasan kepada pengguna.

Disediakan oleh:
Chai Hui Yi, Tingkatan 2 Amanah, SMK Methodist,35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
(Sumber: http://chaimestm.blogspot.com/)

No comments:

Post a Comment

Post a Comment