Friday, January 28, 2011

Panduan Umum Penulisan Karangan

Untuk memastikan pelajar dapat mentakrif soalan dengan tepat, pelajar mestilah mempunyai strategi tertentu. Strategi yang dicadangkan ialah T, K, F. Maksudnya ialah calon dikehendaki meneliti soalan karangan daripada tiga perkara, iaitu Tema (T), Kata kunci soalan (K) dan Format (F). Lihat soalan karangan contoh di bawah ini:

Soalan Contoh:
Anda ingin menulis rencana tentang faktor-faktor yang menarik kehadiran pelancong ke negara kita untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis rencana tersebut selengkapnya.

Ulasan:
Sebelum menjawab soalan karangan ini, pelajar mestilah menentukan tema karangan tersebut. Karangan ini bertemakan peperangan (T= Pelancongan). Kata kunci soalan karangan ini ialah faktor (K= Faktor), manakala format karangan ini ialah berformat umum, iaitu karangan jenis pendapat yang memerlukan perenggan pengenalan, perenggan isi dan penutup. (F= Rencana). Ringkasnya:

Tema : Pelancongan
Kata Kunci : Faktor
Format : Rencana

Selepas aspek ini ditentukan, barulah calon menulis rangka karangan tersebut seperti yang di bawah ini:
Isi:
1. memiliki pantai yang bersih dan cantik.
2. banyak mempunyai tempat yang menarik
3. mempunyai  makanan tradisi yang enak dan lazat
4. negara kita yang aman dan damai

Perenggan Pengenalan
Perenggan pengenalan hendaklah mempunyai dua jenis ayat, iaitu ayat rangsangan (AR) dan Ayat Arahan (AA). Ayat rangsangan(AR) ialah ayat yang berkaitan dengan tema, manakala ayat arahan (AA) ialah ayat yang menjawab soalan atau kata kunci karangan. Contoh:

(AR) Akhir-akhir ini, negara kita menjadi tumpuan pelancong dari seantero dunia. (AR) Hal  ini menyebabkan sektor pelancongan memberikan sumbangan yang besar kepada pendapatan negara. (AR) Selain itu, industri pelancongan telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. (AA) Sebenarnya, terdapat banyak faktor yang menyebabkan  pelancong menjadikan negara kita sebagai destinasi mereka.

Perenggan Isi
Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandungi empat ayat dalam setiap perenggan, iaitu Ayat Judul (AJ), Ayat Huraian (AH), Ayat Contoh (AC), dan Ayat Penegas (AP).

            Ayat Judul ialah ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab pokok persoalan karangan. Ayat judul ini boleh diletakkan pada bahagian awal, di tengah atau di hujung sesuatu perenggan.

            Ayat Huraian pula ialah huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukakan yang bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama.

            Ayat Contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan yang bertujuan untuk memperkuat hujah.

            Ayat Penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian yang dikemukakan. Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti tegasnya, oleh itu, sehubungan dengan itu, pendek kata, dan sebagainya.

Jawapan Contoh untuk Perenggan Isi

(AJ) Salah satu faktornya ialah negara kita memiliki pantai yang bersih dan cantik. (AH) Kebanyakan pantai di negara kita sesuai untuk ahli keluarga berehat dan bersiar-siar. (AC) Sebagai contohnya, pantai yang selalu  menjadi tumpuan pelancong ialah  Pantai Port Dickson di Negeri Sembilan dan juga pantai Tanjung Bidara di Melaka.  (AP) Dengan adanya pantai yang seperti ini, mereka akan datang ke negara kita untuk bersantai bersama ahli keluarga.

Perenggan Penutup
Ayat dalam perenggan penutup ini terdiri daripada ayat kesimpulan (A Ksmpln) , ayat cadangan (A.Cdgn), ayat pendapat (A.Pdpt), ayat Harapan, (A.Hrpn), Ayat Penutup (Apntp), dan sebagainya.

Contoh
           Sebagai kesimpulannya, (A Ksmpln) sektor pelancongan di negara kita mempunyai masa depan yang cerah untuk berkembang maju disebabkan negara kita mempunyai pelbagai kelebihan. (A Cdgn) Oleh itu, kita mestilah mengeksploitasikan segala kelebihan yang ada   untuk menarik kehadiran pelancong ke negara kita. (A Cdgn) Oleh itu, kita mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memajukan sektor pelancongan kita.

Dari segi ayat dalam perenggan, terdapat perbezaan antara ayat dalam karangan berformat umum dengan jenis ayat dalam karangan berformat khusus. Dalam karangan berformat khusus pula, selain ayat rangsangan (AR), terdapat juga Ayat Format (AF). Ayat ini dinamakan ayat format (AF)  kerana bentuk-bentuk ayat tersebut perlu ada dalam karangan yang berformat khusus. Contoh ayat format adalah seperti yang berikut:

  1. Menemui sahabatku yang kini berada di Pulau Pinang semoga berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. (Surat Kiriman Tidak Rasmi)
  2. Merujuk kepada perkara di atas  …(Surat Kiriman Rasmi)
  3. Sekian, terima kasih. (Surat Kiriman Rasmi)
  4. Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis….(Syarahan)
  5. Selamat pagi, Tuan Haji Zainudin. (Wawancara)

Selain itu, perenggan bagi karangan yang berformat berita dan laporan tidak memerlukan ayat judul, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas. Ayat dalam perenggan jenis karangan ini memerlukan isi tentang apa, siapa, mengapa, di mana, bila dan bagaimana (5W1H). Oleh hal yang demikian, ayat-ayat yang terdapat dalam karangan jenis ini merupakan ayat yang berbentuk fakta dan huraian lanjut.

Bagi karangan  yang berbentuk keperihalan, gambaran, pengalaman atau cerita, perenggan yang dibina mestilah terdiri daripada beberapa peringkat. Sebagai contohnya, karangan berbentuk keperihalan atau gambaran memerlukan penceritaan pada peringkat sebelum, semasa dan selepas. Karangan yang berbentuk cerita pula hendaklah mempunyai bahagian permulaan, perkembangan, puncak, ketegangan dan peleraian.

Kesimpulannya, terdapat sedikit perbezaan dari segi jenis ayat dalam perenggan karangan berformat umum dengan perenggan karangan yang berformat khusus. Yang penting ialah setiap isi mesti mempunyai huraian, contoh, dan penegasan atau kesimpulan kecil. Untuk melihat perbezaan jenis ayat dalam setiap perenggan tersebut, setiap ayat ditandai dengan jenis ayat seperti Ayat Format (AF), Ayat Rangsangan (AR), Ayat Arahan (AA), Ayat Judul (AJ), Ayat Huraian (AH), Ayat Contoh (AC), Ayat Penegas (AP), Ayat Kesimpulan (A Kspln), Ayat Cadangan (A Cdgn), Ayat Penilaian ( A Pnln), Ayat Komen (A Kmn), Ayat Pendapat (A Pndpt), Ayat Harapan (A Hrpn), Ayat Penutup (A Pntp), dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment