Showing posts with label Bahas. Show all posts
Showing posts with label Bahas. Show all posts

Wednesday, April 13, 2011

Pembahas Terhebat di Negeri Selangor





Penyokong Terhebat : Pn. Munirah

SMK Seri Serdang Juara Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri Selangor

Kami, warga SMKSS, ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat seperti Pengetua, PIBG, Ketua Bidang Bahasa, Ketua Panitia Bahasa Melayu, Guru Penasihat pasukan Bahas, Jurulatih, iaitu En.Harmi dan Encik Rizal,dan semua pembahas yang telah bertungkus lumus hingga pasukan bahas SMKSS mencapai kejayaan yang cemerlang, iaitu menjadi Juara Pertandingan Bahas Peringkat Negeri Selangor. Kami berbangga kerana menjadi warga SMKSS.

Sunday, April 10, 2011

Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat MSSD Petaling Perdana 2011 - Johan

Kami mengucapkan tahniah kepada Pasukan Bahas Ala Parlimen SMKSS kerana menjuarai pertandingan bahas peringkat PPD Petaling Perdana 2011







Thursday, April 7, 2011

Bahas ala parlimen – Usul yang berat sebelah

Satu perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh penganjur dalam pertandingan bahas ala parlimen ialah usul. Usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan mestilah berkonsepkan cadangan tentang sesuatu yang hendak dilaksanakan. Selain itu, usul perlulah bersifat positif. Bukan itu sahaja, setiap usul mestilah mempunyai ciri pro dan kontra.Oleh hal yang demikian, kedua-dua pihak mestilah mengemukakan hujah untuk mempertahankan usul atau untuk menolak usul. Contoh usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan:

1. Cuti penggal wajar dipendekkan.
2. Mata pelajaran Bahasa Inggeris wajar dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM.
3. Hukuman Rotan wajar dilaksanakan untuk meningkatkan tahap disiplin.
4. Pendekatan kaunseling mampu menangani masalah disiplin.
5. Pelaburan asing banyak membawa kebaikan kepada negara.
6. Pendidikan berorientasikan peperiksaan perlu diteruskan.
7. Kecemerlangan akademik menjamin masa depan.
8. Kaedah Perubatan Alternatif meningkatkan Kesihatan Pengguna

Namun demikian, akhir-akhir ini banyak usul dalam pertandingan bahas ala parlimen yang berat sebelah seperti yang berikut:

1. Sektor pelancongan menjana ekonomi negara.
2. Modal Insan yang berkualiti mangkin kemajuan negara.

Usul (1) dan (2) di atas ini merupakan tajuk yang bias atau berat sebelah. Tajuk bahas ala parlimen sebenarnya usul. Usul ialah sesuatu yang hendak dibawa ke parlimen dan dibentangkan supaya diterima atau ditolak oleh ahli dewan.
Tujuan pertandingan bahas ala parlimen adalah untuk melahirkan pelajar yang petah berhujah, berani bercakap di khalayak, mengeluarkan hujah berserta bukti, dan sebagainya. Oleh itu, setiap penganjur pertandingan mestilah memastikan setiap usul tidak berat sebelah atau bias dalam sesuatu pertandingan perbahasan. Jika pertandingan perbahasan tersebut pada peringkat yang lebih tinggi seperti pertandingan perbahasa ala parlimen antara universiti, tajuk (1) dan (2) tersebut sememangnya sesuai.

Thursday, March 31, 2011

Contoh Teks Bahas: Menteri Ketiga

Usul: Keutuhan Ekonomi Teras Kemajuan Negara’

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang Dipertua, perwakilan kerajaan, rakan-rakan pembangkang serta warga dewan sekalian. Salam sejahtera dan selamat bersidang.

Tuan Yang Dipertua,
Usul pada hari ini berbunyi “Keutuhan Ekonomi Teras Kemajuan Negara’ ”. Namun, saya selaku pembangkang ketiga akan mematahkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak kerajaan. Berdirinya saya pada pagi yang penuh ceria ini adalah untuk menegaskan pendirian kami kepada sidang dewan sekalian bahawa sesungguhnya `Ekonomi bukanlah teras kemajuan negara kerana banyak kelemahan ekonomi yang gagal ditangani oleh pihak kerajaan”.

Tuan Yang Dipertuan,
Untuk menolak usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan, saya akan mendedahkan /menyatakan kelemahan-kelemahan hujah yang dilakukan oleh perwakilan kerajaan sebentar tadi.

Kelemahan pertama yang dilakukan oleh pihak kerajaaan ialah Y.A.B Perdana Menteri mengatakan bahawa ekonomi negara kita kukuh kerana nila Ringgit kita stabil. Saya ingin menafikan hujah ini sekeras-kerasnya kerana Y.A.B mengemukakan hujah tanpa mendedahkan fakta yang sebenar. TYT, saya ingin membetulkan kesilapan Perdana Menteri. Saya ingin menegaskan bahawa pada tahun 1998 negara kita telah mengalami kegawatan ekonomi. Pada masa itu, nila mata wang kebanyakan negara di dunia jatuh merudum akibat serangan spekulator mata wang. Untuk mengelakkan negara kita terjejas teruk, Perdana Menteri pada masa itu, iaitu Tun Mahathir Mohammad telah mengenakan tambatan pada ringgit dengan kadar RM3.88 berbanding 1 dollar Amerika Syarikat. Walaupun ringgit pada masa itu kelihatan kukuh, namun negara kita dilanda kegawatan ekonomi yang sangat buruk. Tegasnya, TYD, kedudukan Ringgit yang kukuh tidak semestinya menggambarkan keutuhan ekonomi negara. Kesan daripada tindakan kerajaan ini, pelabur-pelabur asing bimbang untuk melabur di negara kita kerana bimbang bahwa pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang merugikan mereka. Kami buktikan jumlah kemasukan pelabur asing ke negara kita pada tahun 2008 semakin berkurang, iaitu Berdasarkan laporan United Nation Conference On Trade And Development yang dikeluarkan pada 11.00 pagi, 24 September 2008 menyebutkan bahawa aliran dana asing yang keluar dari negara kita adalah sebanyak USD10.989b dan dana asing yang memasuki Malaysia pula adalah USD8.403b.

Kelemahan kedua yang dilakukan oleh pihak kerajaan ialah mereka menyatakan bahawa keutuhan ekonomi dapat dicapai melalui kestabilan politik dan pentadbiran negara yang kukuh. TYD, saya ingin mengemukakan soalan ini kepada pohak kerajaan, apakah indikator dan justifikasi yang digunakan untuk membuktikan bahawa politik di negara kita stabil? Oleh sebab kerajaan gagal menangani pelbagai isu yang timbul di negara kita seperti diperjuangkan oleh Hindraf, GERAK, JERIT, dan sebagainya, menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan pelbagai demontrasi, perhimpunan haram berlaku. Hal ini sudah tentu menjejaskan keutuhan ekonomi negara. Pihak kerajaan sepatutnya menangani isu ini dahulu sebelum ingin mengukuhkan ekonomi negara. Jika pihak kerajaan dapat menangani isu ini terlebih dahulu, saya yakin bahawa usul yang dikemukakan pada hari ini akan diterima. Namun, kegagalan pihak kerajaan memastikan keadaan negara yang aman dan politik yang stabil, hal ini sudah tentu menjejaskan keutuhan ekonomi negara kita. Kalau perkara ini tidak dapat diselesaikan, bagaimanakah kita hendak memperkukuh ekonomi negara kita? Oleh itu, saya bagi pihak pembangkang menyeru semua ahli dewan menolak usul yang dibawa oleh pihak kerajaan pada hari ini.

Kelemahan ketiga yang dilakukan oleh pihak kerajaan ialah Menteri Ketiga menyatakan bahawa negara kita mempunyai pelbagai sumber untuk meningkatkan ekonomi negara. Mereka mengemukakan sektor pertanian/perindustrian sebagai contoh. Menteri Ketiga menyatakan bahawa negara kita kaya dengan hasil pertanian/perindustrian yang mampu merangsang ekonomi negara kita. Tuan Yang Dipertua, saya tidak menolak fakta yang dikemukakan oleh pihak kerajaan tersebut. Perkara yang ingin saya utarakan di sini ialah masih terlalu banyak kawasan pertanian di negara kita yang terbiar atau tidak diusahakan. Kawasan sawah padi pula sudah didirikan bangunan. Kebun-kebun getah pula banyak yang terbiar. Banyak golongan muda dari kampung atau luar bandar berhijrah ke kota. Persoalan yang ingin kami kemukakan ialah bagaimanakah sektor ini mampu menjana ekonomi negara sedangkan pihak kerajaan masih gagal menangani masalah kekurangan tenaga pekerja dalam sektor pertanian dan masih gagal mengatasi masalah terbiar di negara kita. Menurut Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, iaitu Tan Sri Muhamamad Taib, beliau mengatakan bahawa terdapat lebih daripada 5,000 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan kerana golongan muda tidak meminati sektor pertanian. Persoalannya ialah mengapakah pihak kerajaan tidak mengatasi masalah ini dahulu sebelum ingin menjadikan keutuhan ekonomi teras kemajuan negara? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh hal yang demikian, usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan pada hari ini perlulah ditolak.


Tuan Yang Dipertua,
Konklusinya, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa usul pada hari ini sewajarnya ditolak kerana pihak kerajaan gagal menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan ekonomi. Sekian terima kasih,minta maaf sekiranya terkasar bahasa,namun saya masih teguh dengan pendirian saya, mohon terus membangkang.

Wednesday, March 30, 2011

Contoh Teks bahas: Menteri Kedua

Soalan Contoh
Anda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Parlimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul perbahasan tersebut ialah “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.
Sebagai menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Rangka Karangan

Kata alu-aluan

Pendahuluan

- tolak pindaan usul oleh pembangkang – sokong definisi usul Perdana Menteri

Isi-isi Penting

i. bidasan terhadap pembangkang
ii. penguatkuasaan yang lemah
iii. wujudnya unsur rasuah

Penutup

- Pemantauan pihak berkuasa dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Teks Contoh

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,
Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Tidak Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh Perdana Menteri, iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Tuan Yang Dipertua,
Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa pemantauan yang kurang berkesan tidak dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,
Sebenarnya, pihak berkuasa mempunyai prosedur atau peraturan yang menjadi garis panduan untuk meluluskan tender kantin kepada pengusaha yang berjaya. Selepas itu, pihak berkuasa hendaklah memantau pengusaha-pengusaha kantin yang sedang menjalankan operasi itu dengan berkesan. Jadi sepatutnya pihak berkuasa hendaklahlah menjalankan tanggungjawab mereka itu dengan berkesan. Sekiranya mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, sudah pasti masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah akan dapat diatasi. Mungkin ada segelintir pihak yang berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan tetapi bukan bermakna semua pihak berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan. Jika berlaku juga sebahagian kecil pihak berkuasa yang tidak menjalankan pemantauan dengan berkesan, sudah pasti mereka juga akan dikenakan tindakan kerana kecuaian. Jadi, perkara pokoknya di sini, pihak berkuasa sepatutnya menjalankan pemantauan dengan berkesan untuk mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,
Pemantauan pihak berkuasa akan dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah, jadi hujah saya yang pertama iaitu berpaksikan frasa, pemeriksaan berkala secara kerap. Selepas tender diberikan kepada pengusaha kantin, pihak berkuasa perlulah membuat pemeriksaan berkala secara kerap terhadap pengusaha kantin tersebut. Pihak berkuasa seperti pegawai-pegawai daripada Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kesihatan perlulah membuat pemeriksaan secara mengejut untuk memastikan makanan yang disediakan benar-benar bersih dan selamat untuk dimakan oleh murid-murid. Sampel makanan perlulah diperiksa dan dibuat uji kaji di makmal. Selain itu, pekerja-pekerja yang terlibat untuk menyediakan makan perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya langkah ini dijalankan, sudah pasti keracunan makan dalam kalangan masyarakat tidak akan berlaku.

Tuan Yang Dipertua,
Sekiranya pemeriksaan berkala secara kerap dijalankan sudah pasti pihak pengusaha kantin akan mementingkan kebersihan dalam aspek penyediaan makanan. Oleh itu, pengusaha kantin perlulah memastikan tangan penyedia makanan benar-benar bersih dan premis penyediaan makanan mereka bersih. Selain itu, tukang masak juga perlu memakai topi dan apron di samping memotong kuku mereka agar bersih. Sayur-sayuran atau bahan-bahan yang hendak dimasak perlulah dibersihkan dengan air yang secukupnya di samping tidak mendedahkan makanan kepada lalat atau serangga yang lain. Jika langkah ini diambil oleh pengusaha kantin, sudah tentulah masalah keracunan makanan dapat dielakkan.

Tuan Yang Dipertua,
Hujah saya yang kedua iaitu berpaksikan frasa, mengadakan kursus kepada pengusaha kantin. Pihak berkuasa perlulah mengadakan kursus yang berkaitan dengan aspek kebersihan dalam pengendalian makanan kepada pengusaha-pengusaha kantin sekolah. Melalui kursus tersebut, pengusaha kantin akan mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh demi menjaga kebersihan makanan di kantin. Sudah tentu, mereka akan diberikan pendedahan tentang cara-cara untuk menyediakan makanan yang bersih dan selamat untuk murid-murid sekolah. Pekerja-pekerja kantin itu juga didedahkan dengan aspek kebersihan dan kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam penyediaan makanan. Selain itu, mereka perlu memakai pakaian yang sepatutnya semasa memasak makanan dan menjaga kebersihan seperti memastikan kuku mereka dipotong, membasuh tangan sebelum memegang makanan dan sebagainya. Oleh itu, masalah keracunan makanan dalam kalangan murid-murid sekolah akan dapat diatasi.

Tuan Yang Dipertua,
Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadang.

Sekian, terima kasih.

(Sumber: Wan Buanan, Kelab Debat Bahasa Melayu)
http://www.facebook.com/home.php?#!/home.php?sk=group_151645061557694&view=doc&id=151717878217079

Contoh Teks bahas: Perdana Menteri

Teks Bahas:

Usul: Pendidikan Industri Mangkin Pembangunan Negara

Dengan lafaz bismillahirahmanirrahim, saya membuka arena perdebatan pada hari ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang Dipertua, barisan kerajaan, perwakilan pembangkang, Ahli-ahli Yang Berhormat sidang parlimen sekalian.


Assalamualaikum, warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera dan selamat bersidang.

Tuan Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya amat bersyukur kerana berkat keamanan dan keharmonian bawah kepemimpinan kerajaan pada hari ini dewan kembali bersidang untuk membahaskan satu usul yang begitu penting untuk dilaksanakan.

Tuan Yang Dipertua,

Usul pada hari ini berbunyi,.”Pendidikan Industri Mangkin Pembangunan Negara,”

Tuan Yang Dipertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian

Pertama, izinkan saya melakukan penakrifkan usul secara literal. Perkataan “Industri” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat diertikan sebagai perusahaan secara besar-besaran untuk menghasilkan barangan, manakala perkataan “mangkin” bermaksud unsur yang mempercepat atau menyegerakan sesuatu perkembangan. Jadi, dapatlah dirumuskan bahawa “Pendidikan Industri Mangkin Pembangunan Negara” bermaksud pendidikan yang berasaskan perusahaan merupakan unsur yang akan mempercepat pembangunan negara.

Sebagai Perdana Menteri, saya akan menyatakan hujah-hujah yang menyokong usul ini. Selain itu, hujah-hujah yang seterusnya akan disambung oleh Menteri Pertama, manakala Menteri Kedua pula akan membidas hujah-hujah songsang yang akan dibawa oleh pasukan pembangkang. Saya ingin menyatakan bahawa pihak kerajaan yakin dengan hujah-hujah yang akan kami bentangkan nanti dan seterusnya usul yang kami bawa akan diterima secara konsesnsus.


Tuan Yang Dipertua,

Kami meletakkan dua indikator bagi memantapkan usul kami.Yang pertama, saya katakan bahawa kebergantungan kita kepada negara maju walaupun kita kaya dengan hasil pertanian.Yang Kedua, TYDP, indikator kami ialah bagaimanakah pendidikan industri dapat memacu sektor pertanian ke arah sektor perindustrian yang berasaskan pertanian. Saya yakin bahawa berdasarkan indikator-indikator ini berserta justifikasi yang akan kami kemukakan sudah pasti usul ini akan diterima tanpa perlu diperdebatkan dengan hujah-hujah palsu yang akan dikemukakan oleh pihak pembangkang.

Tuan Yang Dipertua,

Sejak zaman berzaman, negara kita bergantung pada sumber pertanian kerana kita mempunyai tanah yang luas dan subiur. Namun, kita tidak berupaya memperoleh hasil yang lumayan. Pembangunan kita agak perlahan dan kita selalu bergantung harap pada negara maju seperti Jepun dan Amerika untuk membantu kita. Sampai bilakah kita boleh berkeadaan sedemikian? Sampai bilakah kita harus meminta-minta?

Tuan Yang Dipertua dan sidang Dewan sekalian,

Kita harus belajar daripada sejarah. Lihatlah negara-negara maju di dunia, Jepun, misalnya, selepas Perang Dunia Kedua, telah bangkit menjadi gergasi ekonomi dunia kerana negara itu maju dalam bidang perindustrian. Korea Selatan pula mengikut jejak langkah Jepun dalam bidang perindustrian. Oleh sebab itu, untuk mempercepat pembangunan negara, kita harus beranjak daripada negara pertanian kepada negara perindustrian.

(Wakil pembangkang berdiri mohon izin laluan daripada Tuan Yang Dipertua)

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa untuk menjadi negara maju, kita perlulah berubah daripada negara pertanian kepada negara perindustrian. Persoalannya ialah sedarkah pihak pihak kerajaan bahawa pada suatu hari nanti kita mungkin menghadapi krisisi makanan kerana terlalu menumpukan perhatian kepada bidang perindustrian? Saya bimbang nanti yang kita kejar tidak dapat, yang kita kendong pula berciciran.



Tuan Yang Dipertua,

Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Pembangkang atas persoalan yang dikemukakan itu. Apabila saya mengatakan bahawa untuk menjadi negara maju, kita perlu berubah daripada negara pertanian kepada negara perindustrian, bukan bermakna kita tidak menumpukan perhatian kepada bidang pertanian lagi. Sebaliknya, kita majukan bidang pertanian yang berasaskan perindustrian. Kita harus sedar bahawa sudah lama kita mengalami kerugian yang besar. Banyak wang negara yang mengalir ke negara asing kerana kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perindustrian.



Sebagai akibatnya, kita tidak berupaya mencipta dan mengeluarkan barang-barang keperluan kita sendiri walaupun kita mempunyai sumber yang banyak. Kita hanya berupaya menjadi pengeksport barang-barang mentah seperti getah, kelapa sawit, dan seumpamanya dengan harga yang murah. Sebaliknya, kita mengimport barang-barang siap dengan harga yang berlipat ganda. Alangkah ruginya kita!

Tuan Yang Dipertua,

Dengan menyedari hakikat ini, maka kita harus membangunkan bidang perindustrian dengan melahirkan tenaga pakar dalam bidang ini. Pembinaan kilang yang banyak semata-mata tidak bermakna jika kita tidak menyediakan tenaga mahir yang mencukupi. Untuk mencapai matlamat itu, maka bidang pendidikan yang berasaskan pertanian perlu diberikan keutamaan.. Usaha ini seharusnya bermula pada peringkat sekolah rendah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan pendidikan industri., Oleh yang demikian, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan mata pelajaran Kajian Tempatan adalah wajar. Seterusnya, pada peringkat sekolah menengah pula, diajarkan mata pelajaran Kemahiran Hidup, dan pada tahun 2002 mata pelajaran Vokasional diperkenalkan di sekolah menengah harian.

Tuan Yang Dipertua,

Kita terpaksa menerima hakikat bhawa pembangunan dalam bidang industri merupakan mangkin kepada pembangunan negara. Oleh sebab itu, pendidikan industri merupakan satu eleman penting yang perlu diberikan perhatian wajar bukan sahaja oleh kerajaan, tatapi juga oleh oleh pihak pembangkang…..

(Sumber: http://agy7500.blogspot.com)