Thursday, April 7, 2011

Bahas ala parlimen – Usul yang berat sebelah

Satu perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh penganjur dalam pertandingan bahas ala parlimen ialah usul. Usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan mestilah berkonsepkan cadangan tentang sesuatu yang hendak dilaksanakan. Selain itu, usul perlulah bersifat positif. Bukan itu sahaja, setiap usul mestilah mempunyai ciri pro dan kontra.Oleh hal yang demikian, kedua-dua pihak mestilah mengemukakan hujah untuk mempertahankan usul atau untuk menolak usul. Contoh usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan:

1. Cuti penggal wajar dipendekkan.
2. Mata pelajaran Bahasa Inggeris wajar dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM.
3. Hukuman Rotan wajar dilaksanakan untuk meningkatkan tahap disiplin.
4. Pendekatan kaunseling mampu menangani masalah disiplin.
5. Pelaburan asing banyak membawa kebaikan kepada negara.
6. Pendidikan berorientasikan peperiksaan perlu diteruskan.
7. Kecemerlangan akademik menjamin masa depan.
8. Kaedah Perubatan Alternatif meningkatkan Kesihatan Pengguna

Namun demikian, akhir-akhir ini banyak usul dalam pertandingan bahas ala parlimen yang berat sebelah seperti yang berikut:

1. Sektor pelancongan menjana ekonomi negara.
2. Modal Insan yang berkualiti mangkin kemajuan negara.

Usul (1) dan (2) di atas ini merupakan tajuk yang bias atau berat sebelah. Tajuk bahas ala parlimen sebenarnya usul. Usul ialah sesuatu yang hendak dibawa ke parlimen dan dibentangkan supaya diterima atau ditolak oleh ahli dewan.
Tujuan pertandingan bahas ala parlimen adalah untuk melahirkan pelajar yang petah berhujah, berani bercakap di khalayak, mengeluarkan hujah berserta bukti, dan sebagainya. Oleh itu, setiap penganjur pertandingan mestilah memastikan setiap usul tidak berat sebelah atau bias dalam sesuatu pertandingan perbahasan. Jika pertandingan perbahasan tersebut pada peringkat yang lebih tinggi seperti pertandingan perbahasa ala parlimen antara universiti, tajuk (1) dan (2) tersebut sememangnya sesuai.

1 comment: