Sunday, April 24, 2011

Program Sehari Selembar Benang

Siri 9 – Polisem

Perkataan: Lancang
Maksud-1. Kapal layar yang laju 2. Tergesa-gesa mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu sehingga menyebabkan orang lain berasa sakit hati atau celopar.
Ayat: 1. Lancang yang dinaiki oleh mereka diserang oleh lanun. 2. Dia tidak disukai oleh kebanyakan orang di tempat tinggalnya kerana bermulut lancang.

Perkataan: Sumbing
Maksud: 1 serpih sedikit pada bahagian tepinya seperti pinggan. 2 cabik yang dalam pada bibir di sebelah atas sejak seseorang itu dilahirkan.
Ayat: 1. Mata parangnya sumbing kerana tertakik batu. 2. Bibirnya sumbing sejak dilahirkan.

Perkataan: Rapi
Maksud: 1 bersih dan elok . 2 teratur baik-baik, kemas.
Ayat: 1.Wajahnya rapi dan manis. 2 .Buku-buku di biliknya tersusun rapi.

Monday, April 18, 2011

Peperiksaan Setengah Tahun 2011

Dengan ini diberitahu bahawa soalan kertas Bahasa Melayu Tingkatan 5 dalam peperiksaan setengah tahun 2011 meliputi perkara yang telah dipelajari semasa tingkatan lima (Tahun ini) dan tingkatan empat (Tahun 2010). Oleh itu, semua murid tingkatan 5 hendaklah membuat ulang kaji novel Papa (Kau Tewas jua...)dan antologi Harga Remaja sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Harap maklum.

Friday, April 15, 2011

Program Sehari Selembar Benang

Siri 8 - Kata pinjaman daripada bahasa Arab.

Perkataa: Iltizam
Maksud : kesungguhan, secara bersungguh-sungguh
Ayat : Murid yang cemerlang ialah murid yang mempunyai iltizam untuk memajukan diri mereka dalam segenap bidang.

Perkataan: Intiha
Maksud : Penghabisan, penutup,
Ayat : Sebagai intiha, penceramah memberikan nasihat agar semua murid terus belajar dengan bersungguh-sungguh.

Perkataan: Iktibar
Maksud: pengajaran, contoh, teladan.
Ayat : Semua murid hendaklah mengambil iktibar daripada kejadian kemalangan jalan raya yang melibatkan golongan remaja.

Perkataan:Ikhtisar
Maksud: ringkasan cerita, sinopsis.
Ayat : Setiap murid telah diarahkan untuk membuat ikhtisar cerpen-cerpen yang terdapat dalam antologi Kasut Kelopak Jantung.

Perkataan: Insan
Maksud: manusia
Ayat: Kita hendaklah melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan agar dapat menjadi insan yang cemerlang.

Wednesday, April 13, 2011

Pembahas Terhebat di Negeri Selangor





Penyokong Terhebat : Pn. Munirah

SMK Seri Serdang Juara Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri Selangor

Kami, warga SMKSS, ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat seperti Pengetua, PIBG, Ketua Bidang Bahasa, Ketua Panitia Bahasa Melayu, Guru Penasihat pasukan Bahas, Jurulatih, iaitu En.Harmi dan Encik Rizal,dan semua pembahas yang telah bertungkus lumus hingga pasukan bahas SMKSS mencapai kejayaan yang cemerlang, iaitu menjadi Juara Pertandingan Bahas Peringkat Negeri Selangor. Kami berbangga kerana menjadi warga SMKSS.

Sunday, April 10, 2011

Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat MSSD Petaling Perdana 2011 - Johan

Kami mengucapkan tahniah kepada Pasukan Bahas Ala Parlimen SMKSS kerana menjuarai pertandingan bahas peringkat PPD Petaling Perdana 2011







Thursday, April 7, 2011

Bahas ala parlimen – Usul yang berat sebelah

Satu perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh penganjur dalam pertandingan bahas ala parlimen ialah usul. Usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan mestilah berkonsepkan cadangan tentang sesuatu yang hendak dilaksanakan. Selain itu, usul perlulah bersifat positif. Bukan itu sahaja, setiap usul mestilah mempunyai ciri pro dan kontra.Oleh hal yang demikian, kedua-dua pihak mestilah mengemukakan hujah untuk mempertahankan usul atau untuk menolak usul. Contoh usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan:

1. Cuti penggal wajar dipendekkan.
2. Mata pelajaran Bahasa Inggeris wajar dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM.
3. Hukuman Rotan wajar dilaksanakan untuk meningkatkan tahap disiplin.
4. Pendekatan kaunseling mampu menangani masalah disiplin.
5. Pelaburan asing banyak membawa kebaikan kepada negara.
6. Pendidikan berorientasikan peperiksaan perlu diteruskan.
7. Kecemerlangan akademik menjamin masa depan.
8. Kaedah Perubatan Alternatif meningkatkan Kesihatan Pengguna

Namun demikian, akhir-akhir ini banyak usul dalam pertandingan bahas ala parlimen yang berat sebelah seperti yang berikut:

1. Sektor pelancongan menjana ekonomi negara.
2. Modal Insan yang berkualiti mangkin kemajuan negara.

Usul (1) dan (2) di atas ini merupakan tajuk yang bias atau berat sebelah. Tajuk bahas ala parlimen sebenarnya usul. Usul ialah sesuatu yang hendak dibawa ke parlimen dan dibentangkan supaya diterima atau ditolak oleh ahli dewan.
Tujuan pertandingan bahas ala parlimen adalah untuk melahirkan pelajar yang petah berhujah, berani bercakap di khalayak, mengeluarkan hujah berserta bukti, dan sebagainya. Oleh itu, setiap penganjur pertandingan mestilah memastikan setiap usul tidak berat sebelah atau bias dalam sesuatu pertandingan perbahasan. Jika pertandingan perbahasan tersebut pada peringkat yang lebih tinggi seperti pertandingan perbahasa ala parlimen antara universiti, tajuk (1) dan (2) tersebut sememangnya sesuai.

Tuesday, April 5, 2011

Aktiviti Koakademik Zon Puchong Serdang 2011 - Bahas Ala Parlimen : Johan Zon dan Johan Peringkat Daerah

Kami amat berbangga kerana pasukan Bahas Ala perlimen sekolah kami telah menjuarai pertandingan bahas ala parlimen peringkat zon dan peringkat daerah Petaling Perdana. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan bahas sekolah dan guru penasihatnya, Pn. Zurita serta jurulatihnya, En. Harmy. Pada minggu depan, pasukan ini akan mewakili PPD Petaling Perdana untuk pertandingan peringkat negeri yang akan berlangsung di Gombak.

Aktiviti Koakademik peringkat Zon Puchong Serdang 2011 - Pantun: Tempat Kedua

Monday, April 4, 2011

Aktiviti Koakademik 2011-Peringkat Zon Puchong - Serdang : Pidato - Tempat Ketiga

Panitia BM mengucapkan tahniah dan syabas kepada peserta Forum, iaitu Nor Amira, Afzaniza, Nur Nazratul Fareha , Ong Eng Hong dan Mohd Arif kerana berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.

Aktiviti Koakademik 2011 - Peringkat Zon Puchong - Serdang -Pidato - Tempat Ketiga

Tahniah diucapkan kepada Sdr. Noor Amira Zuraini kerana telah berjaya menduduki tempat yang ketiga.