Wednesday, February 2, 2011

Strategi Penulisan karangan PMR

Untuk memastikan pelajar dapat mentakrif soalan dengan tepat, pelajar mestilah mempunyai strategi tertentu. Strategi yang dicadangkan ialah T, K, F. Maksudnya ialah calon dikehendaki meneliti soalan karangan daripada tiga perkara, iaitu Tema (T), Kata kunci soalan (K) dan Format (F). Lihat soalan karangan contoh di bawah ini:

Soalan Contoh:

Anda ingin menulis rencana tentang faktor-faktor yang menarik kehadiran pelancong ke negara kita untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis rencana tersebut selengkapnya.

Ulasan:

Sebelum menjawab soalan karangan ini, pelajar mestilah menentukan tema karangan tersebut. Karangan ini bertemakan peperangan (T= Pelancongan). Kata kunci soalan karangan ini ialah faktor (K= Faktor), manakala format karangan ini ialah berformat umum, iaitu karangan jenis pendapat yang memerlukan perenggan pengenalan, perenggan isi dan penutup. (F= Rencana). Ringkasnya:

Tema: Pelancongan
Kata Kunci : Faktor
Format: Rencana

Selepas aspek ini ditentukan, barulah calon menulis rangka karangan tersebut seperti yang di bawah ini:

Isi:
1. memiliki pantai yang bersih dan cantik.
2. banyak mempunyai tempat yang menarik
3. mempunyai makanan tradisi yang enak dan lazat
4. negara kita yang aman dan damai

Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan hendaklah mempunyai dua jenis ayat, iaitu ayat rangsangan (AR) dan Ayat Arahan (AA). Ayat rangsangan(AR) ialah ayat yang berkaitan dengan tema, manakala ayat arahan (AA) ialah ayat yang menjawab soalan atau kata kunci karangan. Contoh:

(AR) Akhir-akhir ini, negara kita menjadi tumpuan pelancong dari seantero dunia. (AR) Hal ini menyebabkan sektor pelancongan memberikan sumbangan yang besar kepada pendapatan negara. (AR) Selain itu, industri pelancongan telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. (AA) Sebenarnya, terdapat banyak faktor yang menyebabkan pelancong menjadikan negara kita sebagai destinasi mereka.

Perenggan Isi

Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandungi empat ayat dalam setiap perenggan, iaitu Ayat Judul (AJ), Ayat Huraian (AH), Ayat Contoh (AC), dan Ayat Penegas (AP).

Ayat Judul ialah ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab pokok persoalan karangan. Ayat judul ini boleh diletakkan pada bahagian awal, di tengah atau di hujung sesuatu perenggan.

Ayat Huraian pula ialah huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukakan yang bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama.

Ayat Contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan yang bertujuan untuk memperkuat hujah.

Ayat Penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian yang dikemukakan. Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti tegasnya, oleh itu, sehubungan dengan itu, dan sebagainya.

Jawapan Contoh untuk Perenggan Isi


(AJ) Satu daripada faktornya ialah negara kita memiliki pantai yang bersih dan cantik. (AH) Kebanyakan pantai di negara kita sesuai untuk ahli keluarga berehat dan bersiar-siar. (AC) Sebagai contohnya, pantai yang selalu menjadi tumpuan pelancong ialah Pantai Port Dickson di Negeri Sembilan dan juga pantai Tanjung Bidara di Melaka. (AP) Dengan adanya pantai yang seperti ini, mereka akan datang ke negara kita untuk bersantai bersama ahli keluarga.

Perenggan Penutup

Ayat dalam perenggan penutup ini terdiri daripada ayat kesimpulan (AK) , ayat cadangan (A.Cdgn), ayat pendapat (A.Pdpt), ayat Harapan, (A.Hrpn), Ayat Penutup (Apntp), dan sebagainya.

Contoh:

Sebagai kesimpulannya, (AK) sektor pelancongan di negara kita mempunyai masa depan yang cerah untuk berkembang maju disebabkan negara kita mempunyai pelbagai kelebihan. (A Cdgn) Oleh itu, kita mestilah mengeksploitasikan segala kelebihan yang ada untuk menarik kehadiran pelancong ke negara kita. (A Cdgn) Oleh itu, kita mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memajukan sektor pelancongan kita.


Dari segi ayat dalam perenggan, terdapat perbezaan antara ayat dalam karangan berformat umum dengan jenis ayat dalam karangan berformat khusus. Dalam karangan berformat khusus pula, selain ayat rangsangan (AR), terdapat juga Ayat Format (AF). Ayat ini dinamakan ayat format (AF) kerana bentuk-bentuk ayat tersebut perlu ada dalam karangan yang berformat khusus. Contoh ayat format adalah seperti yang berikut:

1. Menemui sahabatku yang kini berada di Pulau Pinang semoga berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. (Surat Kiriman Tidak Rasmi)
2. Merujuk kepada perkara di atas …(Surat Kiriman Rasmi)
3. Sekian, terima kasih. (Surat Kiriman Rasmi)
4. Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis….(Syarahan)
5. Selamat pagi, Tuan Haji Zainudin. (Wawancara)

Selain itu, perenggan bagi karangan yang berformat berita dan laporan tidak memerlukan ayat judul, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas. Ayat dalam perenggan jenis karangan ini memerlukan isi tentang apa, siapa, mengapa, di mana, bila dan bagaimana (5W1H). Oleh hal yang demikian, ayat-ayat yang terdapat dalam karangan jenis ini merupakan ayat yang berbentuk fakta dan huraian lanjut.

Bagi karangan yang berbentuk keperihalan, gambaran, pengalaman atau cerita, perenggan yang dibina mestilah terdiri daripada beberapa peringkat. Sebagai contohnya, karangan berbentuk keperihalan atau gambaran memerlukan penceritaan pada peringkat sebelum, semasa dan selepas. Karangan yang berbentuk cerita pula hendaklah mempunyai bahagian permulaan, perkembangan, puncak, ketegangan dan peleraian.

Sebagai kesimpulannya, terdapat sedikit perbezaan dari segi jenis ayat dalam perenggan karangan berformat umum dengan perenggan karangan yang berformat khusus. Yang penting ialah setiap isi mesti mempunyai huraian, contoh, dan penegasan atau kesimpulan kecil. Untuk melihat perbezaan jenis ayat dalam setiap perenggan tersebut, setiap ayat ditandai dengan jenis ayat seperti Ayat Format (AF), Ayat Rangsangan (AR), Ayat Arahan (AA), Ayat Judul (AJ), Ayat Huraian (AH), Ayat Contoh (AC), Ayat Penegas (AP), Ayat Kesimpulan (A Kspln), Ayat Cadangan (A Cdgn), Ayat Penilaian ( A Pnln), Ayat Komen (A Kmn), Ayat Pendapat (A Pndpt), Ayat Harapan (A Hrpn), Ayat Penutup (A Pntp), dan sebagainya.

Soalan:

Kenaikan harga barang di negara kita semakin sukar untuk dibendung. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghadapi kenaikan ini.

Jawapan:

Strategi:
T=Kenaikan harga barang
K=Langkah
F=Umum


Isi:
1. Diri-Berjimat cermat
2. Keluarga-rancang perbelanjaan
3. Masyarakat-Boikot barang yang mengalami kenaikan
4. Kerajaan-menguatkuasakan undang-undang

Karangan contoh:

(AR) Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. (AR) Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. (AR) Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. (AA) Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini bak kata pepatah ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

(AJ) Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. (AH) Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. (AC) Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100%, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60% sahaja. (AH) Wang selebihnya hendaklah kita simpan. (AP) Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, (AJ) ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. (AH) Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. (AH) Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. (AC) Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. (AP) Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, (AJ) semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. (AH) Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. (AC) Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. (AP) Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, (AJ) pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. (AH) Pegawai yang bertanggung jawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. (AC) Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. (AP) Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Sebagai kesimpulannya, (A Ksmpln) kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, (A Cdgn) semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. (A Hrpn) Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. (A Cdgn) Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. (A Cdgn) Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment